Saturday 2 July 2022

MACAM MANA BEZA NEKA DAN BOKO

  
Neka adalah sejenis dulang yang digunakan untuk membawa makanan yang dibuat daripada logam. Neka dalam bahasa baku dipanggil talam atau dulang. Di sesetengah tempat di Kelantan, neka juga dipanggil boko. 
 
Sebenarnya, neka dan boko ada sedikit perbezaan dari segi ukuran. Neka berukuran lebih besar, sedangkan boko sedikit kecil. 
 
Untuk mudah difahami, neka digunakan untuk mengangkat hidangan yang dapat memuatkan beberapa pinggan. Sedangkan boko pula untuk mengangkat gelas atau cawan air. 
 
Tradisi menyajikan makanan atas neka kini sudah pudar lantaran tidak tidak lagi diamalkan. Di kampung-kampung di mana ia menjadi budaya dan ciri kehidupan masyarakat desa dahulu, ia sudah pupus. 
 
Pada masa dahulu, di rumah jika ahli keluarga hendak menikmati makanan tengah hari atau malam, makanan disajikan di atas neka untuk dinikmati sekeluarga. 
 
Kiranya neka tu bukan sahaja untuk mengangkat hidangan, tetapi juga tempat pinggan lauk semasa menikmati hidangan. Ahli keluarga akan berada dalam bulatan bersila di bahagian dapur atau ruang tamu untuk makan. 
 
Pada masa dahulu ruang dapur agak sempit. Jadi, ruangan tumu dijadikan tempat menjami selera. 
 
Dengan kata lain, penggunaan neka diperlukan untuk memudahkan membawa hidangan ke ruang tamu dan seterusnya dibawa masuk ke dapur apabila selesai makan. 
 
Lebih ketara ialah pada pada majlis kenduri kahwin. Lauk pauk dan sayur diletakkan di atas satu neka, sekali dengan semangkuk air basuh tangan. Nasi pula diletakkan dalam bekas lain. 
 
Petugas atau ‘jongkako’ mengangkat neka dan nasi kepada tetamu yang berada di dalam bangsal makan. Hidangan satu neka biasanya untuk lima hingga tujuh orang tetamu. 
 
Namun tradisi ini sudah lama berlalu. Majlis perkahwinan di kampung pun kini menggunakan khidmat katering. Akibatnya, lenyaplah tradisi sajian hidangan atas neka. 
 
Jika pun majlis kenduri tidak menggunakan khidmat katering, dan masak memasak dibuat secara gotong royong, penyajian tetap secara ‘buffet’. 
 
Kerana itulah generasi sekarang tidak dapat merasai sajian atas neka seperti dilalui oleh ayah ibu atau datuk nenek mereka dahulu.

No comments:

Post a Comment