Sunday 21 January 2018

BERAMAL DENGAN ISLAM


Beramal dengan Islam ertinya kita melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam hukum syariat yang diturunkan oleh Allah.

Bahkan, apabila kita hanya menerima Islam sahaja sebagai sistem hidup, sewajarnya kita menolak apa sahaja yang selain daripada Islam, barulah kita boleh dianggap telah beramal dengan Islam secara sempurna.

Amal yang dibina dalam setiap aspek kehidupan setelah seseorang itu beriman kepada Allah belum juga boleh dianggap sebagai telah mencapai darjat amal soleh sekiranya ia tidak memenuhi syarat-syarat sesuatu amal soleh. 

Apa jua amal kebaikan yang dilakukan oleh manusia hanya dikirakan sebagai amal soleh apabila memenuhi tiga syarat iaitu pertama, amal yang dibina di atas keimanan kepada Allah. Amal yang dibuat tanpa iman, adalah amal yang sia-sia dan tidak membawa manfaat di hari akhirat. 

Kedua, semua amal yang dilakukan mestilah mengikuti apa yang diajar atau ditunjukkan oleh Rasulullah SAW Mengadakan sesuatu yang baharu dalam aqidah dan ibadat adalah menyesatkan. Begitu juga dalam soal kehidupan seharian, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas untuk memandu manusia.

Para ulama berijtihad mengeluarkan hukum, termasuk hukum-hukum semasa berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kehidupan yang tidak berpandukan apa yang ditunjukan oleh Nabi SAW akan menyebabkan manusia mengikuti hawa nafsu, lalu menyia-nyiakan amalnya.

Ketiga, amal yang dibuat di atas iman dan mengikuti petunjuk Nabi SAW mestilah dibuat semata-mata kerana Allah. Dalam kata lain, amal yang tidak diikhlaskan kepada Allah tidak boleh dikatakan sebagai amal soleh.

Kebaikan yang dibuat dengan tujuan mencari nama, mendapat habuan dunia, mengharapkan puji-pujian dan seumpamanya akan menghancurkan nilai kebaikan tersebut.

Gejala-gejala seperti riak, takabbur, ujub dan lain-lain yang menjadi penyakit hati ini, berperanan merosakkan keikhlasan amal kita. 

Gabungan tiga aspek inilah yang melahirkan amal soleh dalam hidup manusia. Lalu ia menjadi bekalan bagi kehidupan kita di akhirat. Inilah yang disebut oleh Allah yang bermaksud, "(Manusia menjadi hina) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh" (Surah at-Tiin: 6)

Apabila kita telah dapat memandu hidup kita berdasarkan keimanan dan beramal dengan amal yang soleh ini, barulah dapat membina kehidupan yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat.

Seluruh keyakinan, ibadat, kehidupan dan perjuangan yang tidak dilandaskan di atas dasar ini adalah sia-sia dan merugikan. 

Tidak ada seorang pun dapat mencapai kemenangan di akhirat sekiranya mereka tidak menutupi ruang-ruang kerugian ini dengan amal yang soleh sesudah mereka beriman.

Apaalah ertinya kita berpenat lelah dalam perjuangan atau dapat mencapai tujuan perjuangan di dunia yang sementara tanpa iman dan kesolehan amal, kerana ia adalah penyesalan di hari akhirat.

No comments:

Post a Comment