Sunday 14 January 2018

CARA KERJA TANAM PADI DAHULU DAN KINI

Dahulu kerja-kerja menanam padi sehinggalah menuai dan proses menghasilkan beras dilakukan secara menual atau tenaga manusia sepenuhnya. Sebab itu dikatakan sebiji padi atau beras itu amat bermakna.

Pesan orang-orang tua, jangan tinggalkan walaupun sebiji nasi di pinggan. Jangan membazir kerana untuk lahirnya sebiji nasi amat sukar. Begitu juga dengan rezeki lain. Jauhkan sikap membazir dan tidak bersyukur.

Pada masa dahulu, hendak menabur benih kena tunggu musim hujan. Sekarang ini tarikhnya telah ditetapkan oleh yang menyediakan sistem perairan seperti KADA di Kelantan dan MADA di Kedah.

Dahulu, selepas menabur kena tunggu anak semai membesar dan kemudian kerja-kerja mencabut anak semaian untuk dipindahkan ke tapak bendang atau sawah.

Anak padi akan disemai kembali apa yang dipanggil kerja  'cedung' menggunakan 'kaki kambing' atau cara biasa 'sempit' jari membenamkan akar anak padi ke dalam tanah.

Ketika proses cedung inilah pokok padi ditanam dalam barisan. Setiap rumpun padi mengandungi 3 atau 4 pokok anak padi.

Lain sekarang ini, selepas proses menabur benih, anak padi yang tumbuh akan terus dibiarkan tumbuh sehingga besar dan berbuah tanpa perlu diubah ke tempat baru. Jadi, tidak banyak tenaga yang diperlukan.

Apabila buah padi masak, pada masa dahulu, kena pula buat kerja menuai. Ada dua cara biasa dilakukan.

Pertama cara dikerat tangkai dengan menggunakan ketam. Himpunan tangkai padi akan diikat menjadi satu 'gemar'. Tuaian cara ini biasanya padi itu akan disimpan dengan tangkainya agar lebih tahan.  

Kedua cara dikerat batang padi dari bawah. Bahagian batang digunakan untuk dipegang ketika proses 'memukul' tangkai di tempat khas untuk meleraikannya.

Kedua-dua cara itu tidak lagi dilakukan. Sebaliknya sekarang ini guna jentera penuai padi. Cepat dan mudah.

Dahulu, padi yang telah 'dipukul' akan masukkan ke dalam guni dan dibawah pulang. Melalui batas sawah sehingga ada sejauh 1 atau 2 kilometer sebelum sampai di rumah.

Padi itu perlu dijemur segera untuk mengelak rosak, terutama padi yang basah akibat hujan atau terendam dalam air kerana pokok padi rebah akibat diitup angin. Padi dijemur atas tikar atau belulang lembu.

Sekarang, padi dituai menggunakan jentera penuai akan terus dibawa ke kilang untuk disimpan atau terus dimesin untuk menghasilkan beras. Dahulu padi perlu ditumbuk atau dikisar untuk menanggalkan kulit padi sebelum dipanggil beras.

Tuntasnya, duhulu dan kini jauh berbeza.

No comments:

Post a Comment