Friday, 5 January 2018

OPS GUBIR 2 - SEJARAH PENGORBANAN TENTERA


Keamanan Malaysia tidak diperoleh tanpa pengorbanan generasi terdahulu, terutama sekali pasukan keselamatan terdiri tentera, polis dan pasukan bantuan lain. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi melaksanakan misi mengamankan negara.

Banyak peristiwa pertempuran dan operasi keselamatan yang mengorbankan nyawa anggota keselamatan. Antara kisah pengorbanan besar anggota keselamatan ialah dalam melaksanakan Ops Gubir 2.

Ops Gubir 2  berlaku pada tahun 1976, iaitu satu operasi khas mencari dan memusnah jerangkap samar kerana sebelum ini pasukan keselamatan selalu terkena jerangkap samar dan telah ramai yang terkorban.

Panglima Markas 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis diserang. Maklumat diperoleh daripada anggota musuh yang menyerah diri menyatakan tentang kewujudan terowong bawah tanah.

Gerakan ini melibatkan anggota Pasukan Gerakan Khas (Komando). Dari Kem Gubir ke kawasan operasi mereka menggunakan helikopter NURI, mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke kawasan sempadan. 
 
Semua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah 'rapelling' dan 'winching' kerana kawasan itu tiada tempat pendaratan heli (Landing pad - LP).

Komando yang terlibat seramai lebih kurang 60 orang. Turut diaturgerak ialah Tim Jurutera sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat LP.

20 Apr 1976 – Anggota diaturgerak ke kawasan opeasi menggunakan NURI. Bagaimanapun, percubaan pertama gagal apabila sebelum anggota didaratkan, mereka diserang pengganas komunis.

Pengganas menembak bertalu-talu ke arah pesawat. Cubaan pertama terpaksa dibatalkan dan pesawat berpatah balik.

Percubaan kedua dilakukan dengan diiringi pesawat Allouette yang berperanan sebagai penembak dari udara. Tembakan dari Allouette sebagai tembakan perlindungan semasa anggota turun menggunakan tali dari NURI.

Walaupun diberikan tembakan perlindungan, musuh tetap melepaskan tembakan dari kedudukan terlindung di bawah. Tanpa pilihan, sebaik mendarat, anggota terus mendapat perlindungan dan membalas tembakan.

Anehnya, semasa tentera hebat memberi tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’. Tiba-tiba semua tembakan terhenti. Suasana itu menjadi tanda tanya kepada anggota tentera yang masih siap sedia untuk membalas tembakan dan jika sesuai akan membuat serang balas.

Agak lama anggota tentera dalam siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Dalam pada itu, NURI kembali ke kawasan itu untuk menurunkan anggota lain, termasuk Tim Jurutera.

Berdasarkan anggaran Tim Jurutera, kawasan itu mempunyai lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam.

Siapapun mendengar angka tersebut pasti naik gerun. Bayangkan dengan jerangkap samar sebanyak itu, setiap langkah anggota adalah bagaikan menempah maut. Silap langkah, pasti akan ada anggota badan yang bercerai atau nyawa yang melayang.

Peluh jantan menitik di wajah masing-masing dan kegusaran terbayang. Adakah ini kali terakhir? Adakah langkah seterusnya yang akan diambil akan jadi langkah terakhir di muka bumi ini?

Namun mengenangkan tugas dan sudah sedia maklum risikonya, masing-masing menguatkan semangat. Beg digalas, senjata dipegang dalam keadaan sedia, dan dengan berhati-hati melangkah satu demi satu.

Setiap nafas dihembuskan diiringi syahadah. Risaukan jerangkap samar satu hal, risaukan musuh yang mungkin tiba-tiba munculpun satu hal hagi. Maklumlah, kawasannya berhutan tebal. Manakan mungkin mata anggota dapat melihat semua benda pada masa yang sama.

Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan semua anggota pasukan berjalan dan tidur serta berehat dengan selamat.

Keupayaan dan kemahiran Tim Jurutera memang terbaik melakukan tugas dengan jayanya.  Bab jerangkap samar, serah saja pada geng jurutera. Kemahiran mereka memang tak dapat dipertikaikan.

Semasa Tim Jurutera memusnahkan atau membersihkan jerangkap samar, anggota lain memberi perlindungan dari serangan musuh yang mungkin muncul tiba-tiba.

Untuk operasi yang dijangka berlangsung beberapa hari itu, makanan dihantar dari Kem Gubir. Kotak makanan digugurkan melalui NURI.

23 Apr 1976 – Satu Tim Jurutera tambahan dari Kem Sangro, Taiping dihantar untuk membantu tugas membersihkan jerangkap samar di kawasan itu. Anggota tambahan itu diharapkan dapat membantu dan mempercepatkan urusan pembersihan jerangkap sama itu.

Hari pertama membuat proses pembersihan semuanya berjalan lancar dan selamat. Pada hari kedua, nasib malang menimpa kumpulan pembersih jerangkap samar.  Dua anggota terpijak jerangkap samar mengakibatkan putus kaki. Manakala seorang anggota berada berhampiran cedera teruk di tangan.

Mendengar bunyi berdentum dan melihat asap berkepul tentunya mengejutkan semua anggota. Kemudian diikuti melihat tubuh rakan yang sebahagian anggotanya telah hancur diiringi darah membuak keluar, pasti menggongcang keyakinan diri.

Anggota yang cedera diberi bantuan rakan yang sekadar tahu menaburkan morfin di tempat luka untuk menahan sakit, serta membungkus kecederaan dengan pembalut medan yang paling asas.

Usaha lain mampu dilakukan ialah meriba dan memberi 'keselesaan' dan 'keyakinan' kepada mangsa.

Laporan kecederaan dihantar ke Markas Tektikal dan minta bantuan NURI untuk membawa keluar mangsa. Ketibaan NURI bukan dalam tempoh lima atau 10 minit. Masa lebih lama diambil.

Detik menanti ketibaan NURI untuk membawa mangsa keluar mendapat rawatan lebih baik satu pengalaman menyanyat hati setiap anggota yang berada bersama-sama mangsa.

Mangsa merintih kesakitan, sedangkan rakan-rakan tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan sekadar terus menberi keyakinan dan mengingatkan agar mengucap. Keadaan semakin meruncing apabila darah semakin berkurangan dalam badan.

Hati mana tidak meruntun sedih mendengar rintihan itu. Tambah-tambah lagi memikirkan nasib itu mungkin terkena pada diri sendiri. Mungkin nasib akan dialami nanti lebih teruk dari itu atau terus meninggal dunia.

Pada masa sama, anggota lain terpaksa berkawal memerhati jika ada musuh menyerang. Mereka juga terpaksa membuat 'pembersihan' dari gangguan musuh bagi membolehkan mangsa dinaikkan ke NURI dengan selamat.

Dan saat melihat mangsa diangkut pergi, masing-masing hanya mampu menitipkan doa. Semoga tak ada ibu akan kehilangan anaknya dan tak ada anak kehilangan ayahnya.

Sayup-sayup bingit NURI hilang, itu tidak menghilangkan semangat anggota yang masih perlu meneruskan misi. Kesedihan perlu dilenyapkan segera. Anggaplah tiada apa-apa yang terjadi, melainkan satu tugas yang perlu dilaksankan.

Jika, ada anggota tenera cedera atau meninggal, itu menjadi azimat kepada rakan-rakan lain untuk memburu musuh yang menyebabkan rakan mereka tercedera. Hangat darah yang tumpah menjadi pembakar semangat kepada yang lain.

24 Apr 1976 – Pada petang itu, persoalan anggota tentang bagaimana kumpulan musuh tiba-tiba ghaib pada pertempuran di hari pertama terjawab. Mereka telah berjaya memperoleh satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut. Difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand.

Disebabkan penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya itu juga merupakan penemuan pertama dalam sejarah TDM, maka menjadi satu tugas Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut.

Maka, Tim Jurutera meneruskan tugas, manakala anggota Komando memberikan perlindungan kawasan. Dalam beberapa keadaan, anggota Komando yang mempunyai kepakaran juga turut membantu usaha menjejak terowong itu.

Tim Jurutera menjumpai pintu masuk ke terowong itu dan memulakan tugasan membersih terowong setelah mendapat kebenaran pegawai atasan. Pertama kali dalam sejarah ATM, pembersihan terowong ala Vietcong dilaksanakan.

Alhamdulillah, kerja pembersihan diteruskan hingga tamat sebelah petang tanpa insiden.

25 Apr 1976 – Pada awal pagi, Tim Jurutera memulakan pembersihan dalam terowong kedua. Untuk tujuan pemantauan kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan, Tim Jurutera bersama anggota Komando sebagai pengiring turun ke terowong mengikut tangga.

Sebelum itu, mereka bernasib baik dapat mengesan beberapa jerangkap samar yang dirangkaikan dengan jarangkap samar induk. Jika meletup, mungkin semua di dalam kumpulan terkambus terus.

Setelah melalui lorong utama, mereka menjumpai 2 ruang seolah-olah bilik. Kedudukan ruang tersebut berselang seli satu di kanan dan satu ke kiri. Ada beberapa pintu atau laluan lain selain daripada pintu terowong yang digunakan itu.

Di dalam bilik 1, terdapat bahan makanan (dipercayai ianya adalah bilik menyimpan makanan). Di dalam  ruang kedua pula terdapat perca-perca kain yang berterabur. Mungkinan bilik itu digunakan sebagai bilik jahitan pakaian .

Lebih kurang 5 ke 10 minit penggeledahan dilakukan penuh teliti dengan bantuan 'Mine Detector (MD) dan segalanya berjalan lancar. 

Langkah diteruskan. Tiba-tiba MD berbunyi menandakan ada logam yang mungkin jerangkap samar dikesan. Namun, melalui pemeriksaan didapati punca MD berbunyi kerana di tempat itu terdapat kelongsung peluru telah digunakan.

Lalu, mereka terus melangkah. Selang beberapa langkah sahaja bergerak, satu letupan bergema ...Booooom!!!!!!,  diikuti asap yg amat tebal!

Masing-masing panik dan bertanya siapa yang kena. Kemudian, terdengar suara menjerit 'Tuan... saya kena tuan", sekaligus mengenal pasti mangsa.

Nasib baik, letupan itu tidak menyebabkan tanah runtuh yang menyebabkan mereka tertimbus. 

Apapun, letupan itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan, tetapi keadan kelam kabut dengan keadan terowong dipenuhi asap yang menerobos hidung dan memedihkan mata.

Mangsa ditarik ke luar sehingga ke permukaan terowong. Dalam keadaan terowong gelap, mereka meraba-raba laluan. Nasib baik laluan itu telah selamat atau diperiksa semasa masuk.

Setelah berjaya naik ke permukaan, di dapati muka dan perut mangsa penuh dengan darah. Yang lain hanya mampu mengelilingi dan melihat beliau.  

Kelihatan darah membuak-buak keluar, dan beliau merintih kesakitan. Sayunya hati tak dapat diceritakan ketika itu. Beberapa orang rakan-rakan hanya mampu membuka topi hutan masing-masing dan terduduk.  

Mangsa tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir di ribaan rakan akibat tercedera di bahagian dada dan perutnya. 

Seorang pegawai turut cedera dalam letupan tersebut. Nasib baik beliau tidak parah dan disuntik morfin untuk menahan sakit. Keduanya diterbangkan menggunakan NURI dibawa keluar dari kawasan operasi.

Tentu sekali, peristiwa itu sekali lagi menggamit perasaan setiap anggota. Biarpun antara mereka baru kenal dalam operasi itu, semangat perjuangan tetap sama, demi agama bangsa. Demi negara tercinta.

Tambah lagi, dalam hati setiap mereka terdetik adakah mereka juga akan mengalami nasib itu. Namun, mereka tidak pernah menyerah atau ingin meninggalkan operasi, melainkan setelah diarahkan oleh pihak atasan.

26 Apr 1976 – Anggota masih di kawasan operasi. Pada hari itu juga sebuah pesawat NURI telah ditembak jatuh oleh musuh dan kesemua 11 anak kapal dan penumpangnya telah terkorban.

NURI tersebut membawa bekalan peluru dan bahan letupan bagi tujuan meletupkan terowong. Bekalan peluru dan bahan letupan walau bagaimanapun dapat dihantar kemudiannya walaupun dalam jumlah yang tidak sama seperti dalam helikopter yang ditembak jatuh itu.

27 Apr 1976 - Elemen Jurutera dan sebahagian anggota komando mula dikeluarkan daripada kem pengganas setelah operasi memusnahkan terowong dan bunker berjaya dilakukan.

Semoga kisah ini memberi pengajaran dan keinsafan kepada rakyat Malaysia untuk menyayangi dan mempertahankan negara tercinta ini. 

No comments:

Post a Comment