Sunday 27 May 2018

KEUTAMAAN SEDEKAH PADA BULAN RAMADAN

Memberi sedekah amalan terpuji. Sebaik-baik memberi sedekah adalah pada bulan Ramadan. Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan. Baginda menjawab: "Puasa di bulan Syaban untuk memuliakan Ramadan," Baginda ditanya lagi, lalu sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan." (Hadis riwayat Tirmizi: No 599) Status Daif

Dari Ibnu Abbas dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (HR Muslim No: 4268) Status: Hadis Sahih

Tingkatkan sedekah, derma juga wakaf kerana itulah yang kekal dan menetap pahala kebaikannya untuk kita, meskipun secara mata kasarnya harta kita berkurang. Namun hakikatnya tidak berkurang harta orang yang bersedekah.

Amalan bersedekah sebagai satu daripada cara untuk menjauhkan dari api neraka. Sedekah akan menjadi penghindar dari api neraka walaupun sebelah biji buah kurma. Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah kalian kepada neraka walau dengan sebelah biji kurma, jika tiada, hendaknya dengan perkataan yang baik." (HR Bukhari No: 5564) Status: Hadis Sahih

Amalan sedekah yang paling utama dilakukan ialah sedekah pada bulan Ramadan. Sifat suka bersedekah adalah pengikat dan penghubung kasih sayang kita dengan orang lain.

Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa  juga kepada golongan fakir miskin.

Allah akan menggantikan apa yang disedekahkan dengan yang lebih baik serta keberkahan harta di dunia dan pahala yang besar di akhirat. Firman Allah: “Dan apa saja yang kamu sedekahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya” (QS Sabaa’:39).

Dari Aisyah  bahawa keluarga Rasulullah SAW  pernah menyembelih seekor kambing, kemudian disedekahkan kepada orang-orang miskin, lalu Rasulullah  bertanya: “Apa yang tertinggal dari (daging) kambing tersebut?”. ‘Aisyah  menjawab: “Tidak ada yang tertinggal darinya kecuali (bahagian) bahu (dari) kambing tersebut”. Maka Rasulullah  bersabda: “Itu bererti semua daging kambing tersebut tertinggal tetap dan kekal pahalanya kecuali bahagian bahunya”

Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi. Amalan sedekah menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. “Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (Surah an-Nahl: 96)

Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.

No comments:

Post a Comment