Friday 25 May 2018

ISI BUAH KABUNG DAPAT PERMINTAAN TINGGI

Pokok kabung dipanggil juga kantau atau kantor menghasilkan buah yang isinya mendapat permintaan tinggi. Isi buah kabung menjadi bahan campuran dalam cendol, air batu campur dan hidangan lain. Kelembutan isi buah kabung seumpama gula-gula getah dan rasa manis.

Buah kabung ada sepanjang musim, tetapi mendapat permintaan tinggi pada bulan Ramadan. Untuk memenuhi permintaan, ada pengusaha buah kabung hanya beroperasi pada bulan Ramadan dan sanggup berhenti seketika kerja yang biasa dilakukan pada bulan lain, disebabkan untung mencari, memproses dan menjual buah kabung lebih menguntungkan.

Buah pokok kabung dihasilkan dari pokok matang dengan buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan buah kabong mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah kabung.

Buah kabung mempunyai kulit berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal.

Kerja memetik buah kabung agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu. Selain perlu pandai memanjat, pemetiknya juga perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan getah yang menyebabkan badan menjadi gatal.

Proses mengeluarkan isi kabung bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan pengepit kayu.

Setiap biji buah kabung mempunyai tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari.

Selain dengan cara merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah kabung ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak.

Isi buah kabung yang siap diproses amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding atau ais kacang. Selain itu, isi buah kabung segar juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi.

Isi buah kabung ini yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan.

Kandungan gizi buah kabung mengandungi kalori 164mg, sodium 19.58 mg, potassium 170.88 mg, karbohidrat 42.61 g, protein 0.64 g, Vit A 3.56 IU, vit C 0.89mg, calcium 78.32 mg, iron 0.52mg.

Buah kabung mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu proses penghadaman. Kandungan karbohidrat memberikan rasa kenyang dan memberikan tenaga.

Buah kabung mengandungi kalsium yang tinggi yang sangat baik untuk menguatkan tulang terutama bagi mereka yang alahan kepada susu.

Selain daripada menikmati buahnya yang enak, buah kabung dikatakan berkesan untuk :
- Untuk mengubati demam
- Mengubati sakit perut.
- Mengubati sembelit. 
- Mengurangkan noda-noda hitam di wajah
- Mencegah osteoporosis.

No comments:

Post a Comment