Friday 13 January 2023

CENDAWAN BUSUT TUMBUH DI TEMPAT ADA ANAI-ANAI

  
Permintaan terhadap cendawan semakin tinggi. Banyak jenis cendawan kini ditanam bagi memastikan bekalannya dapat memenuhi pemintaan sepanjang masa.
 
Cara penanaman cendawan dilakukan melalui kaedah bongkah. Bongkah yang dihasilkan daripada serbuk kayu dan beberapa bahan lain melalui beberapa proses sebelum disuntik dengan benih cendawan.
 
Namun, ada sejenis cendawan yang dianggap unik dari segi medium tempat tumbuh dan masih tidak ditemui cara untuk ditanam. Jadi, ia tumbuh dalam bentuk secara semula jadi.
 
Cendawan busut atau di Kelantan dipanggil kulat pusu biasa tumbuh berhampiran tanah busut. Busut dikaitkan dengan tempat tinggal anai-anai. Dengan kata lain, cendawan busut mempunyai kaitan dengan kewujudan anai-anai di sesuatu kawasan.
 
Sebab itu, ada kawasan yang didiami anai-anai, biarpun bukan ada busut kelihatan (tanah rata) cendawan busut tumbuh di situ.
 
Cendawan busut atau nama saintifiknya adalah Termitomyces sp, daripada famili Lyophyllaceae. Cendawan busut tumbuh secara meliar seperti di kawasan belukar, kebun, bahkan berhampiran laman rumah.
 
Cendawan busut tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Cara pembiakan atau penyebarannya adalah simbiosis obligat dengan anai-anai spesis Odontotermes spp.

Anai-anai membiakkan cendawan dengan cara menghadamkan kayu-kayu dengan pertolongan mikrob-mikrob yang berada dalam perut mereka, mencerna kayu-kayu dan membuangnya sebagai najis di dalam pusu tempat mereka tinggal.

Cendawan pula memerlukan najis anai-anai untuk tumbuh, di mana miseliumnya tumbuh pada kayu-kayu yang telah dicerna oleh anai-anai itu. Anai-anai sebaliknya menggunakan bahan yang telah terkompos oleh cendawan sebagi makanan. Inilah yang dikatakan hidup bersama sehidup semati.
 
Cendawan busut akan tumbuh di tempat yang sama, sekiranya tempat itu tidak diganggu. Namun apabila kawasan tempat ia biasa tumbuh diratakan, digali dan dicangkul untuk didirikan penempatan, cendawan busut akan beralih untuk tumbuh di tempat lain pula, tetapi di sekitar itu juga. Ini berlaku kerana busut anai-anai juga telah beralih.
 
Menariknya, cendawan busut hanya akan tumbuh di tempat yang sama sekali setahun sahaja. Sebab itu ia juga dikenali sebagai cendawan tahun.
 

1 comment:

  1. Cendawan ini sebenar boleh ditanam dgn kaedah kaltur tapi oleh tidak dapat di komersialkan sebab tak than lama dan pasaran terhad

    ReplyDelete