Saturday, 21 July 2018

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB DALAM PERKAHWINAN

Perkahwinan amat dituntut dalam Islam. Ikatan perkahwinan membolehkan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan mengikut keinginan dan keperluan naluri kamanusiaan.   

Sesungguhnya melalui perkahwinan lelaki dan perempuan akan mengecapi nikmat hidup yang lebih bermakna. Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum ayat 21).

Nabi Muhammad menyatakan rasa gembira umatnya berkahwin serta mempunyai anak. Rasulullah sentiasa menggalakkan agar cepat berkahwin sekiranya telah mampu. 

Sebuah hadis Rasulullah bermaksud: “Berkahwinlah dengan perempuan yang dapat melahirkan anak dan berkasih sayang kerana aku amat berbangga dengan umat yang ramai” (Riwayat Abu Daud).

Berkahwin bertujuan melahirkan zuriat yang bersih, jelas asal keturunan, serta direstui dalam keluarga. Dengan cara itu hubungan keturunan bertaut dengan kukuh dengan perasaan kasih sayang dan rasa saling menghormati. 

Baginda melahirkan rasa sedih apabila mengetahui seorang sahabat meninggal dunia ketika masih bujang. Sahabat itu dikatakan mendapat kurang martabatnya di sisi Allah, biarpun semasa hayatnya dia tergolong mereka yang kuat beribadat.

Balasan kebaikan bagi mereka berkahwin digandakan dengan rahmat Allah. Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seorang isteri mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga dari sebarang pintu yang dia kehendaki” (Riwayat Ibnu Hibban).

Sesiapa yang melaksanakan amanah perkahwinan beroleh apa yang diingini dalam memenuhi tuntutan naluri kemanusiaan. Pada masa sama dia beroleh pahala untuk bekalan di akhirat.

Nabi Muhammad membantah permintaan pemuda yang tidak mahu berkahwin dengan alasan ingin memberi tumpuan sepenuhnya beribadat kepada Allah. Mereka tidak mahu berkahwin kerana takut banyak masa dihabiskan bersama isteri dan menyebabkan lalai daripada memperbanyakan ibadah. 

Sesiapa yang tidak berkahwin bermakna tidak mengikut sunnahnya. Banyak keburukan akan menimpa umat Islam jika banyak yang tidak mahu berkahwin. 

Siapakah bakal meneruskan anutan Islam sekiranya umat Islam tidak berkahwin? Zuriat yang dilahirkan bertujuan untuk diajar, mengamalkan dan meneruskan ajaran tauhid mengesakan Allah. Oleh itu amat penting umat Islam berkahwin dan mempunyai anak pinak.

Sesungguhnya amat besar ganjaran untuk orang yang berkahwin. Setiap apa yang dilakukan berkaitan hidup rumah tangga dikira ibadah. Mencari rezeki untuk isteri dan keluarga dikira fisabilillah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah” (Riwayat Thabrani).

Walaupun perkahwinan amat digalakkan, namun tidak boleh dipermudahkan umpama mencari ikan di pasar. Pemilihan pasangan perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin keserasian. 

Rasulullah menggariskan empat perkara perlu diperhatikan dalam memilih jodoh, iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan keimanan. Sesiapa memperoleh keempat-empatnya, maka bertuahlah dirinya. Tetapi, jika gagal memenuhi kesemuanya, ambillah yang terbaik tanpa meninggalkan keimanan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka utamakanlah wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Memilih pasangan yang sesuai amat penting memandangkan ikatan perkahwian merupakan perkongsian hidup dalam segenap segi sehingga ke akhir hayat. Kaedah memilih pasangan perlu dilakukan dengan bijaksana dan bukannya terpengaruh godaan nafsu semata-mata. 

Jika perkahwinan digalakkan, maka talak pula perlu dielakkan. Talak dibenarkan sebagai jalan penyelesaian terakhir jika segala usaha untuk perdamaian tidak berhasil. 

Sebab itu talak dibenarkan. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada suatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu” (Surah al-Baqarah: 236).

Tanggungjawab dalam perkahwinan amat besar dan tidak semudah disangka. Lelaki dan perempuan yang bersetuju membentuk ikatan perkahwinan secara mutlaknya telah bersetuju menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. 

Lelaki sebagai suami mempunyai tanggungjawab lebih berat berbanding perempuan sebagai isteri. Suami menjadi pemimpin rumahtangga dan bertanggungjawab menyediakan nafkah keperluan bagi isteri dan keluarga. 

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu bersekedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu telah mengambil satu perjanjian yang amat berat” (Surah an-Nisa: 21).

Hakikatnya, semua penganut agama lain juga berkahwin. Tetapi perkahwinan itu dilakukan atas keperluan tabie dan tidak dikira sebagai sebahagian daripada ibadah. Perkahwinan bagi umat lain lebih mengikut keperluan adat. Jika tidak mahu mengikut adat, boleh bebas hidup bersama seperti pasangan suami isteri tanpa ikatan perkahwinan.

Islam membenarkan lelaki berpoligami atau beristeri lebih daripada satu pada satu masa sehingga empat. Namun, lelaki yang ingin berpoligami perlu menimbangkan baik buruknya. Jika difikirkan ‘perlu’, lakukan dengan niat mencari kebaikan. 

Suami dibenarkan berpoligami jika mampu berlaku adil. Sebaliknya jika difikirkan tidak mampu berlaku adil adalah lebih baik tidak berpoligami.   

Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 3 bermaksud: “Kemudian jika kamu takut tidak akan berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih baik kepada tidak berbuat aniaya.”

Sebagai pemimpin, suami bertanggungjawab memastikan isteri dan ahli keluarga melakukan kebaikan dan menjauhkan larangan Allah. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah kamu dan keluarga kamu daripada api neraka” (Surah at-Tahrim: 6). 

No comments:

Post a Comment