Wednesday, 10 February 2021

LENGKUAS MUDAH DITANAM, MEMBIAK

Lengkuas banyak ditanam di negara kita kerana dianggap satu keperluan dalam masakan tertentu. Antara masakan yang paling banyak menggunakan lengkuas ialah singgang sama ada singgang ikan mahupun singgang daging. Tanpa dimasukkan lengkuas, masakan singgang dianggap tidak lengkap.

Tanaman ini ditanam secara meluas di kawasan Asia tropika. Tumbuhan ini juga digunakan dalam perubatan tradisional.

Kepentingan perubatan tumbuhan ini telahpun dicatatkan dan didokumentasi di India sejak 600 SM. Justeru itu ramai yang mempercayai bahawa lengkuas berasal di India. Tumbuhan ini digunakan dalam perubatan Ayurvedik.

Lengkuas merupakan sejenis tumbuhan perennial iaitu jangkahayat yang panjang, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-3 m. Daunnya ringkas, licin dan berwarna hijau. Daunnya berbentuk memanjang dan runcing di hujung daun. Manakala tepi daunnya adalah rata. Rizomnya tumbuh secara menjalar, tebal, beraroma dan tegap.

Tumbuhan ini boleh ditanam dengan senang dan boleh tumbuh dengan menanam keratan rizomnya. Lengkuas yang dibiarkan tumbuh dalam tempoh masa lama akan membentuk perdu berumpun-rumpun.

Untuk mengambil rizom lengkuas tidak semesti digali keseluruhan perdu. Sudah memadai hanya menggali separuh dan memotong perdu yang ingin diambil. Perlu lain boleh terus dibiarkan tumbuh dan semakin merebak.

Rizom lengkuas digunakan untuk meransang aktiviti pencernaan dalam perut. Balutan rizomnya yang ketuk dapat digunakan untuk merawat reumatik, demam, lemah tenaga batin, bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), ketidakhadaman makanan dan diabetes.

Rizom lengkuas yang diketuk dan dicampur dengan sedikit bawang putih dan cuka dapat digunakan sebagai rawatan herpes (penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus).

Lengkuas merupakan salah satu tumbuhan keluarga halia. Permukaan rezom lengkuas berwarna krim kemerahan, licin dan mempunyai rerambut pada bahagian ruas manakala isinya lebih keras dan pedas berbanding halia.

No comments:

Post a Comment