Sunday, 24 November 2024

SUNGAI KOR DALAM MENJADI UDIK SUNGAI PENGKALAN DATU

 
Sungai atau disebut juga kali merupakan sejenis saluran air semula jadi. Sumber air sungai boleh jadi dari tasik, mata air atau air hujan yang memasuki sungai. Permulaan sungai adalah dari tempat tinggi yang terus mengalir “turun” ke kawasan yang lebih rendah sehinggalah sampai di hujung sungai iaitu laut.
 
Mulut atau hujung sungai dipanggil hilir sungai atau muara. Permulaan sungai dipanggil hulu sungai atau udik sungai. Manakala kuala sungai pula lebih merujuk kepada tempat pertemuan antara sungai dengan sungai atau tasik. Bagaimanapun, ada juga tempat dinamakan kuala sebagai merujuk kepada pertemuan sungai dengan laut yang sepatutnya dipanggil muara.
 
Sebuah sungai yang besar biasanya bermula dengan banyak cabang sungai atau anak sungai yang menyumbang kuantiti air yang banyak sehingga membentuk sungai yang besar dan dalam.
 
Anak-anak sungai sama ada mempunyai nama sendiri atau mengguna nama sungai besar atau utama. Contohnya, Sungai Kor Dalam di Keterah, Kelantan adalah anak sungai kepada Sungai Pengkalan Datu. Namun, ada juga rekod atau catatan yang mengatakan Sungai Kor Dalam adalah Sungai Pengkalan Datu.
 
Sungai Kor Dalam sebenar hanya tanah lembah atau paya. Jadi, ketika bukan musim hujan, Sungai Kor Dalam hanya terbentuk aliran air kecil sahaja, bahkan pada masa tertentu kering terus.
 
Namun, wajah sebenar Sungai Kor Dalam akan kelihatan pada musum hujan. Air penuh dan menjadi aliran air hujan menuju ke Sungai Pengkalan Datu, seterusnya sampai di muara Panti Senok.
 
Berpandukan kepada paras air di Sungai Kor Dalam, penduduk kampung sekitar dapat menjangkakan bila akan berlaku banjir jika hujan berterusan. Juga dapat dijangkakan tempat-tempat mana yang ditenggelami air dan paras ketinggian air.

Gambar - Sungai Kor Dalam

No comments:

Post a Comment