Friday, 9 July 2021

BUKAN ISLAM DIBENARKAN MASUK MASJID

Bukan Islam atau kafir boleh atau harus masuk atau berada di dalam masjid jika bertujuan baik. Bukan Islam harus dibenarkan untuk melihat keindahan masjid, menyertai aktiviti tertentu bersama orang Islam, urusan kemasyarakatan dan sebagainya.

Ketika berada di dalam masjid, mereka perlu mengetahui adat-adat atau peraturan yang sepatutnya dipatuhi. Hal ini sebenarnya bukan saja perlu dipatuhi oleh bukan Islam, bahkan orang Islam sendiri.

Kemuliaan dan kedudukan masjid sebagai rumah Allah perlu dijaga. Masjid adalah tempat paling mulia di atas muka bumi ini. Maka itu ia tidak boleh dicemari dengan apa saja perbuatan yang ditegah oleh agama.

Majoriti ulama berpegang sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam memutuskan bahawa harus bukan Islam memasuki masjid.

Hadis itu mencerita mengenai sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam. Tsumamah diikat di salah satu tiang di dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda “lepaskanlah Tsumamah”.

Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.

Berdasarkan hadis ini, nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk bukan Islam ke dalam masjid itu. 

Dalam masyarakat pelbagai agama, terdapat aktiviti di masjid yang turut memerlukan atau dijemput memasuki masjid.

Selain itu, masjid menjadi destinasi pelancongan kerana wujud ciri-ciri menarik, terutama seni bina dan perkara yang biasanya tidak diketahui oleh bukan Islam.

Juteru, orang bukan Islam berminat untuk memasuki masjid dan mendapat pengalaman baru yang ada antara mereka kali pertama menjejak kaki ke dalam masjid. 

Sebenarnya, keinginan bukan Islam ingin melawat masjid patut dialu-alukan kerana ia menjadi sebahagian daripada dakwah secara tidak langsung. 

Mereka berpeluang mendekati tempat ibadat orang Islam dan sedikit sebanyak mengetahui tentang tempat ibadat orang Islam.

Orang bukan Islam yang melawat masjid akan mengetahui sedikit sebanyak konsep ibadat orang Islam.

Pada masa sama mereka akan mempunyai pandangan baik mengenai Islam. Setidak-tidaknya mereka tidak menganggap Islam agama ekstrem atau mendatangkan bahaya kepada penganut agama lain.

Mereka tidak takut untuk masuk ke masjid kerana yakin kepada keamanan dan keselamatan yang dijanjikan oleh Islam.

Secara tuntasnya, adalah harus bukan Islam memasuki masjid kecuali Masjid al-Haram. Inilah pandangan majoriti ulama terdahulu mahupun kontemporari.

Pandangan ini lebih menepati dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah, selain meraikan konteks masyarakat majmuk dan hubungan antara agama.

Inilah juga fatwa yang oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 di bawah tajuk ‘Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid’.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Inilah pandangan yang diamalkan oleh masyarakat Muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ia juga terpakai mengharuskan bukan Islam memasuki masjid untuk tujuan.

Namun demikian, adab-adab di dalam masjid mestilah dipelihara dan petugas-petugas masjid mestilah mengambil tanggungjawab bagi memastikan tiada salahlaku dan perlakuan tidak sopan terjadi di dalam masjid dan perkarangannya.

No comments:

Post a Comment