Islam
tidak menghalalkan sebarang bentuk keganasan. Pengganas adalah penjenayah yang
wajib ditentang dan dihapuskan. Begitu juga keganasan atas nama agama adalah
sesuatu yang seharusnya ditolak dan ditentang sama sekali.
Sehubungan itu, adalah sesuatu yang amat penting bagi umat Islam terutama
pemimpin dan ulama Islam memberikan penjelasan dan tanggapan benar kepada
masyarakat dunia bahawa Islam sebagai agama yang bersifat rahmat kepada
sekalian alam.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai
Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah
Al-Anbia, ayat 107)
Perlu ditegaskan bahawa Islam dari pelbagai sudutnya iaitu akidah, syariat dan
akhlak, pada dasarnya amat menganjurkan umatnya supaya membentuk sebuah
masyarakat sejahtera dan aman damai.
Tidak
timbul sama sekali istilah keganasan, pelampau dan lain-lain dalam kamus
kehidupan umat Islam. Islam bukannya punca keganasan, sebaliknya penganut yang
jahil mengenai Islam yang bersalah dalam hal ini.
Punca utama kelemahan umat Islam kini ialah kerana mereka memahami Islam dengan
kefahaman yang salah dan menyeleweng.
Orang Islam juga adalah umat yang amat rajin membaca al-Quran, namun mereka
sentiasa keberatan untuk melaksanakan isi kandungannya dan tidak berusaha untuk
melakukan perubahan dan kemajuan untuk diri mereka.
Sebaliknya, mereka membaca al-Quran dalam keadaan perasaan, hati dan akal
mereka mati untuk menyelami, memahami, menghayati dan juga mempraktikkan
ayat-suci al-Quran dalam ruang lingkup realiti kehidupan sejagat.
Malahan ayat yang dibaca itu tidak berupaya bertindak sebagai pemangkin jitu ke
arah kebangkitan, beramal, berjihad dan penerokaan terhadap rahsia Allah yang
tersurat dan tersirat di bumi Allah SWT ini.
Umat Islam selamanya tidak akan berjaya dalam menunaikan risalah Islam yang
diamanahkan melainkan jika mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi.
Kedudukan wasilah atau cara itu samalah dengan kedudukan ghayah atau matlamat
yang dituju itu. Jika sesuatu amalan wajib itu tidak terlaksana melainkan
dengan wasilah terbabit, maka wasilah itu dengan sendirinya akan menjadi wajib
hukumnya.
Jadi, macam mana mungkin umat Islam hendak merealisasikan amanah menyampaikan
Islam ke sekalian alam sekiranya mereka masih lagi bergantung hasil makanan
daripada ehsan golongan kafir dan musuh-musuh Islam?
Dan
bagaimana pula umat Islam ingin bangkit berjihad pada jalan Allah sedangkan
mereka masih lagi mengharapkan bantuan senjata dari musuh-musuh Islam?
No comments:
Post a Comment