Saturday, 19 February 2022

SULTAN KELANTAN BERPERANAN KEMBANGKAN ISLAM

  
Dinasti Long Yunus yang diasaskan oleh Long Yunus (1775 - 1794) telah menjadikan hukum Islam sebagai teras pentadbiran. Golongan ulama dilantik menjadi penasihat kepada pihak istana dalam soal berkaitan hukum agama dan pentadbiran. 
 
Pada zaman pemerintahan Long Yunus, telah lahir seorang ulama terkenal iaitu Tuan Sheikh Haji Ab. Halim. Beliau menjadi penasihat kepada pihak istana dan mengadakan kelas pengajian agama di istana untuk kerabat diraja dan pembesar negeri. 
 
Pada masa pemerintahan Sultan Muhammad I (1800 - 1835), Sheikh Haji Ab Halim telah dilantik sebagai penasihat khas baginda. Atas nasihat beliau, Sultan Muhammad I telah mengarahkan membina banyak masjid, surau dan wakaf untuk tempat beribadat dan kemudahan persinggahan. 
 
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad II (1839 - 1886), syiar Islam lebih berkembang pesat di Kelantan. Baginda telah melantik lebih ramai pegawai agama bagi menguruskan soal-soal keagamaan. Di setiap mukim dan kampung dilantik imam dan bilal untuk mengendalikan hal-ehwal agama. 
 
Sultan Ahmad (1886 - 1889) menggantikan Sultan Muhammad II juga mengikuti usaha pemerintah sebelumnya dalam usaha mengembangkan ajaran Islam. Kelas-kelas agama dikendalikan oleh ulama terkenal semakin banyak dibuka. 
 
Hukum potong tangan ke atas pencuri dan hukum hudud telah mula diamalkan di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhammad III (1889 - 1890). Hukum tersebut berterusan sehingga pemerintahan Sultan Mansor (1890 - 1900).

No comments:

Post a Comment