Dalam sebuah negara demokrasi, kebebasan
bersuara adalah salah satu ciri penting kerana ia dianggap sebagai sebahagian
daripada hak asasi manusia.
Justeru, sebagai sebuah negara yang
berpegang kepada demokrasi, kebebasan bersuara dinyatakan dengan jelas dalam
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini menyatakan bahawa kebebasan
bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang
diberikan kepada warganegara.
Biarpun begitu, tidak ada kebebasan yang
mutlak. Ia perlu bersandarkan Fasal (2), (3) dan (4) Perkara 10 melibatkan soal
keselamatan nasional, ketenteraman awam dan perpaduan rakyat.
Sebagai contoh, kedudukan agama Islam
sebagai agama Persekutuan, raja-raja Melayu, keistimewaan bumiputera dan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi.
Beberapa undang-undang juga digubal sejak
sebelum merdeka lagi bagi memastikan kebebasan ini tidak disalahgunakan. Dalam
konteks kebebasan bersuara di Malaysia, ia berada di bawah lingkungan kawalan
Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta
Polis 1967, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa akta lain
termasuk Kanun Keseksaan.
Kerajaan dilaporkan akan mengkaji
kerelevanan undang-undang sedia ada selaras perkembangan semasa susulan
peningkatan kes provokasi membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Undang-undang baharu ini diharap tidak akan
mengikat kebebasan bersuara khususnya pihak media bagi memberi laporan yang
terbaik kerana mereka adalah mata dan telinga rakyat untuk kerajaan mentadbir
dengan lebih baik.
Pun begitu, harus diakui beberapa akta
seperti Akta Media dan Cetak 1984 serta beberapa seksyen dalam Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 perlu dilihat kembali.
Profesion kewartawanan harus kekal bebas
dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain bagi menjamin
kebebasan bersuara di negara ini.
Pihak media tidak sepatutnya dihalang daripada
menyiarkan sebarang laporan berita yang adakala dijadikan panduan pihak
berwajib untuk mengambil tindakan susulan.
Golongan wartawan melaksanakan
fungsi media sebagai ‘estet keempat’ bersama-sama pihak eksekutif, perundangan
dan kehakiman yang saling berganding untuk membangunkan negara.
Saya percaya pengamal media memiliki sifat
dapat membezakan dalam isu-isu sensitif demi memastikan keamanan negara.
Kita harus menerima hakikat bahawa media
tidak boleh lagi dikongkong kerana hampir semua mempunyai akses kepada media
sosial di mana maklumat mengalir dengan amat pantas.
Pada masa sama, kerajaan juga harus bersedia
berhadapan ledakan digital terutama melalui media sosial yang menyebabkan
wujudnya pelbagai golongan seperti pempengaruh (influencer) dan tentera siber (cybertrooper).
Tindakan ini mengongkong hak dan kebebasan
untuk bersuara dan tidak wajar sama sekali. Sekiranya wujud unsur fitnah atau
tohmahan sehingga mengancam ketenteraman awam, heret individu terbabit ke muka
pengadilan melalui undang-undang sedia ada.
Menurut Kementerian Komunikasi Digital,
pandemik Covid-19 membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan
aktiviti masyakarat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial
atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.
Statistik itu juga menunjukkan rakyat
Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan
pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun
dari 2020.
Dunia digital menyebabkan maklumat mengalir
dengan amat pantas. Kita tidak mampu lagi untuk menyekat. Tindakan
penguatkuasaan perlu diambil, namun paling utama ialah kesedaran rakyat sendiri
untuk menapis maklumat-maklumat yang diterima.
Kerajaan perlu mempergiatkan lagi program
untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya tapisan kendiri terhadap setiap
maklumat yang berlegar di setiap platform media.
Dalam masa sama, komunikasi daripada setiap
agensi perlu jelas. Komunikasi adalah satu sayap penting, tidak seperti dahulu
hanya unit kecil dalam sebuah organisasi.
Mengekang kebebasan bersuara bukan satu solusi yang tepat.
Sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan
harus bersifat terbuka dan berlapang dada kerana peredaran dunia pada masa ini
memerlukan media yang lebih bebas tanpa ada sekatan dan kawalan oleh
pihak-pihak tertentu.
Media yang bebas adalah hak asasi manusia
terpenting terutama kepada pembangunan negara yang lestari dan mampan. Dalam
dunia hari ini, kita perlu meraikan kebebasan bersuara, namun dalam masa sama
harus diingat tidak ada kebebasan yang mutlak.
Mengekang kebebasan bersuara bukan satu solusi yang tepat.
No comments:
Post a Comment