Salah satu perkara negatif di media sosial
adalah apabila ia digunakan untuk memudahkan seseorang merendahkan, menghina
serta mencaci orang lain. Di mendia sosial, semua golongan tempias dihina. Sultan,
pemimpin, ulama sehinggalah orang biasa pun dihina atau dicaci.
Perbuatan itu dilakukan kerana merasakan
diri terlalu hebat, betul dan berkuasa. Sebaliknya, orang lain dipandang salah
dan layak dihina. Penghinaan dan cacian dilakukan dalam pelbagai aspek seperti
fizikal, pelakuan, ilmu dan kedudukan.
Individu melakukan perbuatan itu
berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan sikap ego yang melihat semua orang
salah. Ada juga melakukan perbuatan itu atas dasar suka-suka da terikut-ikut
tindakan orang lain, sedangkan diri sendiri sebenarnya amat “lemah”, “penakut”
dan “bodoh”
Sebab itu, ada yang hanya melakukan di
media sosial. Tidak berani hendak melakukan secara di alam nyata. Mereka
menuduh orang lain salah, sedangkan diri sendiri tidak mengikut perintah Allah
SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain,
(kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang
menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain
(kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita
(yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu
panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah
(panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Sekarang ini ada orang berilmu menyalah
guna kedudukan. Ilmu yang dimiliki digunakan untuk menghina orang lain. Memang
ilmunya tinggi, tetapi itu bukan alasan membolehkan dia mengatakan orang lain
bodoh dan menghina orang lain.
Sikap itu memang tidak elok, namun tidak
pula boleh orang lain memaki dia balik. Itu sudah mencetuskan “perang” di media
sosial. Berbalas hantaran di media sosial menjadikan keadaan cukup gawat,
tambah lagi melibatkan mereka yang jahil dan bersikap buruk. Mereka bukan
berhujah dengan ilmu, tetapi menggunakan kebodohan sebagai modal kekuatan untuk
menyerang balas.
Apabila si ilmuan berperang dengan si
bodoh, biasanya si bodoh yang akan memang, kerana mereka tidak sekali-kali
dapat menerima perkara baik, malah menganggap perbuatan bodoh itu sebagai
betul.
Maka itu, si ilmuan perlu bijak. Jangan terperangkap
dengan permainan si bodoh. Jika si ilmuan melayan kebodohan si bodoh, maka si
ilmuan juga layak dipanggil si bodoh.
Si ilmuan yang mudah terperangkap dengan
provokasi si bodoh akan menampakkan betapa dirinya bodoh. Jangan terperangkap
dengan perang saraf yang dicipta pihak lain.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment