Sunday, 18 August 2024

CARA PENJAGAAN POKOK DURIAN

 
Pokok durian memerlukan penjagaan rapi, terutama pada peringkat masih kecil. Jika silap penjagaan, pokok boleh mati biarpun sebelum itu hidup subur. Biarpu nampak pada fizikal pokok jenis lasak, tetapi hakikatnya pokok durian jenis pokok “manja” yang perlu dibelai selalu.
 
Bagi anak pokok durian yang baru ditanam adalah digalakkan menggunakan tanah campuran atau tanah yang lembab bertujuan untuk mengawal suhu pokok dan kelembapan tanah. Biasanya ada juga yang menggunakan sabut kelapa dan sisa rumput yang kering dan diletakkan di pangkal pokok. Ini juga dapat membantu untuk mengawal kelembapan tanah. Pokok durian tidak tahan cuaca terlalu panas, kemungkinan anak pokok durian menjadi layu dan mati.
 
Sebab itu, pada peringkat awal penanaman, pokok durian perlu disiram dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan petang. Jika di kawasan kebun yang luas dan tidak ada tenaga kerja untuk menyiram, perlu ada sistem paip untuk menyiramnya. Memang memerlukan perbelanjaan besar.
 
Kawalan rumpai atau rumput memang amat penting dijaga bagi memastikan tumbesaran pokok. Penggunaan racun rumpai tidak boleh digunakan di kawasan durian yang berumur kurang dari 2 tahun kerana ia mampu merosakkan akar yang sangat aktif mengambil atau menerima makanan, kecuali menggunakan jenama tertentu yang selamat untuk pokok ditenam.
 
Sebaiknya kita menggunakan cangkul untuk mengawal rumpai atau rumput disekeliling pokok dan ini juga memudahkan kerja penyelenggaraan seperti membaja.
 
Pembajaan pokok durian digalakkan menggunakan baja organik kompos atau semi-organik dan baja tumbesaran NPK 15:15:15 pada peringkat awal pertumbuhan. Kemudian gunakan baja buah NPK 12 12 17 pada peringkat pokok berbuah.
 
Untuk anak pokok durian, pembajaan perlu dilakukan dengan menggukan kaedah tabur terus di sekeliling atau dikambuskan baja tersebut dengan tanah. Pastikan anda tidak menaburkan baja tersebut di pangkal pokok untuk memudahkan proses penyerapan gizi pemakanan oleh akar.
 
Pokok durian yang sedang mengeluarkan bunga sebaiknya tidak perlu ditaburkan dengan baja kerana ianya boleh mengakibatkan bunga durian menjadi kering dan gugur.
 
Anda digalakkan menggunakan baja organik. Ada juga menggunakan tahi ayam yang telah reput untuk memberikan baja tambahan pada pokok supaya dapat menghasilkan buah durian yang bermutu tinggi dan berkualiti.

Sebenarnya, kos penjagaan kebun duian agak tinggi. Kalau seekar kebun, kos bulanan boleh mencecak satu hingga dua ribu ringgit. Lainlah yang buat ala kadar sahaja. Maka hasil pun ala kadar jugalah. Bahkan boleh menyebabkan kerugian besar jika pokok mati. 

No comments:

Post a Comment