Beramal dengan Islam ertinya kita
melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam
hukum syariat yang diturunkan oleh Allah.
Bahkan, apabila kita hanya menerima Islam
sahaja sebagai sistem hidup, sewajarnya kita menolak apa sahaja yang selain
daripada Islam, barulah kita boleh dianggap telah beramal dengan Islam secara
sempurna.
Amal yang dibina dalam setiap aspek kehidupan
setelah seseorang itu beriman kepada Allah belum juga boleh dianggap sebagai
telah mencapai darjat amal soleh sekiranya ia tidak memenuhi syarat-syarat
sesuatu amal soleh.
Apa jua amal kebaikan yang dilakukan oleh
manusia hanya dikirakan sebagai amal soleh apabila memenuhi tiga syarat iaitu
pertama, amal yang dibina di atas keimanan kepada Allah. Amal yang dibuat tanpa
iman, adalah amal yang sia-sia dan tidak membawa manfaat di hari akhirat.
Kedua, semua amal yang dilakukan mestilah
mengikuti apa yang diajar atau ditunjukkan oleh Rasulullah SAW Mengadakan
sesuatu yang baharu dalam aqidah dan ibadat adalah menyesatkan. Begitu juga
dalam soal kehidupan seharian, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas
untuk memandu manusia.
Para ulama berijtihad mengeluarkan hukum,
termasuk hukum-hukum semasa berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kehidupan yang
tidak berpandukan apa yang ditunjukan oleh Nabi SAW akan menyebabkan manusia
mengikuti hawa nafsu, lalu menyia-nyiakan amalnya.
Ketiga, amal yang dibuat di atas iman dan
mengikuti petunjuk Nabi SAW mestilah dibuat semata-mata kerana Allah. Dalam
kata lain, amal yang tidak diikhlaskan kepada Allah tidak boleh dikatakan
sebagai amal soleh.
Kebaikan yang dibuat dengan tujuan mencari
nama, mendapat habuan dunia, mengharapkan puji-pujian dan seumpamanya akan
menghancurkan nilai kebaikan tersebut.
Gejala-gejala
seperti riak, takabbur, ujub dan lain-lain yang menjadi
penyakit hati ini, berperanan merosakkan keikhlasan amal kita.
Gabungan tiga aspek inilah yang melahirkan
amal soleh dalam hidup manusia. Lalu ia menjadi bekalan bagi kehidupan kita di
akhirat. Inilah yang disebut oleh Allah yang bermaksud, "(Manusia
menjadi hina) kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang
soleh" (Surah at-Tiin: 6)
Apabila kita telah dapat memandu hidup kita
berdasarkan keimanan dan beramal dengan amal yang soleh ini, barulah dapat
membina kehidupan yang beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat.
Seluruh keyakinan, ibadat, kehidupan dan
perjuangan yang tidak dilandaskan di atas dasar ini adalah sia-sia dan
merugikan.
Tidak ada seorang pun dapat mencapai
kemenangan di akhirat sekiranya mereka tidak menutupi ruang-ruang kerugian ini
dengan amal yang soleh sesudah mereka beriman.
Apaalah ertinya kita berpenat lelah dalam
perjuangan atau dapat mencapai tujuan perjuangan di dunia yang sementara tanpa
iman dan kesolehan amal, kerana ia adalah penyesalan di hari akhirat.
No comments:
Post a Comment