Friday, 31 January 2020

JIHAD MENUNTUT ILMU


Rakyat perlu meningkatkan keilmuan dalam semua bidang kehidupan untuk melahirkan masyarakat yang serba maju. Peluang pekerjaan terbuka luas kepada semua rakyat yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang. Maka, taraf kehidupan berada di tahap terbaik dan ekonomi negara kekal mampan. 

Ummah yang mempunyai kekuatan ilmu dan ekonomi mampu menghadapi cabaran dan tidak lagi dijadikan hamba oleh pihak lain. Hamka berkata: “Ada ilmu ada harta jadi orang mulia, ada ilmu tidak ada harta jadi hamba orang, kalau tidak ada ilmu tidak ada harta jadi binatang.”

Menuntut ilmu tidak hanya dikhususkan kepada golongan muda. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat terutama melibatkan secara tidak formal. Pengetahuan baru sentiasa tercetus dalam dunia teknologi yang memerlukan setiap orang sentiasa belajar perkara baru. 

Proses pendidikan secara tidak formal lebih banyak memberi pendedahan ilmu kepada kita. Justeru, kita perlu sentiasa berada dalam situasai keilmuan sama ada belajar, mendengar mahupun mengikut apa yang berkaitan dengan ilmu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:  "Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa" (Hadis riwayat Bazzar).

Dalam situasi ini kita perlu memikirkan soal ilmu sebagai perkara pokok dalam kehidupan. Apabila ada ilmu, perkara lain akan menjadi lebih mudah. Fikirkan soal ilmu dan ilmu yang akan memikirkan untuk kita mengenai perkara lain.

Cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein pernah berkata: “Aku merasa hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang sepatutnya dimiliki.”

Marilah seluruh umat Islam berjihad untuk menuntut ilmu. Perlu difahami bahawa jihad tidak hanya berperang di medan perang. Sebaliknya, usaha membangunkan masyarakat, memelihara dan memastikan keperluan masyarakat Islam terbela juga satu jihad.    

Berjihad bermaksud melakukan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT. Tuntutan berjihad dijelaskan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad sebenarnya.” (Surah al-Hajj 22:78).

Umat Islam perlu berusaha mengulangi kecemerlangan dulu dengan lebih hebat. Harapnya akan lahir tokoh ilmuan sehebat Ibnu Rushd, Ibnu Sina, al-Farabi, al-Khawarizmi dan ramai lagi yang membawa era kecemerlangan ilmu dan tamadun Islam. 

No comments:

Post a Comment