Wednesday, 29 January 2020

INTIUSI MENAIKKAN MOTIVASI


Mungkin ramai yang tidak mengetahui maksud perkataan 'intiusi' kerana jarang digunakan dalam percakapan maupun tulisan seharian.

Kamus Dewan mendefiniskan intiusi sebagai daya atau kebolehan memahami (mengetahui, merasai) sesuatu tanpa berfikir atau membuat pertimbangan secara sedar. Intiusi juga bermaksud gerak hati.

Sebenarnya intiusi boleh berlaku secara spontan. Sesuatu yang terlintas di dalam hati dan kemudian membawa kepada pemikiran secara sedar adalah satu bentuk intiusi.  

Intiusi berlaku mungkin sebagai sebahagian cetusan minda yang lahir akibat persekitaran yang dihadapi. Suasana persekitaran atau apa yang sedang dihadapi dan dilakukan mencetuskan satu minda spontan yang mempunyai kaitan dengan apa yang perlu dilakukan seterusnya. 

Dalam hal ini, setiap individu melalui intiusi dengan banyak ragam. Ada orang yang hanya sekadar membiarkan intiusi itu berlalu tanpa dirasakan ada sesuatu yang perlu diberi perhatian.   

Manakala ada pula orang yang menjadikan intiusi untuk mengembangkan angan-angan. Mereka memikirkan betapa indahnya jika terjadi begitu dan begini dalam hidup mereka yang seperti yang terlintas di dalam fikiran. 

Ada pula orang yang mengambil intiusi yang berbentuk baik untuk direlisasikan. Dalam hal ini intiusi dijadikan pencetus motivasi untuk seorang memulakan sesuatu usaha yang mendatangkan kebaikan. 

Biasanya kita tidak mempunyai apa-apa gambaran atau tidak terlintas di hati untuk melakukan sesuatu. Tetapi melalui intiusi yang berkaitan dengan sesuatu, kita mula mendapat gambaran apa yang akan atau perlu dilakukan. 

Jelas sekali orang yang berfikiran positif dapat menjadi intiusi sebagai satu motivasi yang begitu kuat untuk dilaksanakan. Jika minda kita dapat menjangkau membentuk satu urutan kejadian seperti satu yang benar-benar telah berlaku, maka itulah sebenarnya satu perkara yang mungkin dapat direalisasikan. 

Malang sekali apabila di kalangan masyarakat kita sering menganggap individu yang cuba mengembangkan intiusi sebagai angan-angan Mat Jenin. Hal ini menyebabkan individu mendapat intiusi tidak berani berkongsi intiusi itu dengan orang lain. Mereka takut ditertawakan kerana terlalu berangan-angan.

Intiusi biasanya dikaitkan dengan lintasan dalam hati yang biasanya tidak difikirkan terlebih awal. Keinginan itu lahir secara spontan dan mempunyai kaitan yang mampu dilakukan. Lintasan yang bukan-bukan dan tidak berpijak di alam nyata tidak termasuk dalam kategori intiusi.

Intiusi yang berbentuk kebaikan perlu digarap, digilap dan dikembangkan untuk menjadi kenyataan. Lintasan minda yang baik itu tidak wajr dipersia-siakan yang mungkin sebelum ini amat sukar untuk timbul dalam hati. 

Banyak individu yang merasakan dirinya tidak mampu mencapai apa-apa kejayaan dalam hidup. Jadi, golongan ini tidak pernah memasang cita-cita yang tinggi. Mereka tidak terlintas langsung untuk melakukan sesuatu lebih daripada apa yang dilakukan seharian.   

Tetapi melalui intiusi menyebabkan mereka rasa ada sesuatu dorongan luar biasa dan mula mengubah tangapan negatif terhadap diri sendiri sebelum ini. Secara tidak sedar bisikan itu lahir agar dijadikan satu kenyataan pada masa akan datang. 

Intiusi bukan berlaku hanya apabila kita melihat kejayaan orang lain. Mungkin secara tiba-tiba kita terfikirkan sesuatu yang dianggap hebat. Jadi, sepatutnya lintasan itu tidak diabaikan begitu sahaja.  

No comments:

Post a Comment