Friday 15 October 2021

KUBU PERANG DUNIA KEDUA DI PANTAI KUNDUR

  
Pengunjung ke Pantai Kundur, berpeluang melihat sebuah kubu kebal (pillboxe) yang dibina tentera British untuk mempertahankan Tanah Melayu dari serangan Jepun. 
 
Kubu kebal di Kelantan telah dibina oleh tentera British pada tahun 1940 sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan peperangan apabila menyedari situasi politik antarabangsa semakin tidak menentu. 
 
British sedar kedudukannya di Tanah Melayu bakal dicabar oleh tentera Jepun yang telah mara ke negara-negara di Asia Tenggara. Pada September 1940, tentera Jepun telah menduduki Utara Indochina (Utara Vietnam). 
 
Menyedari keadaan itu, tentara British membuat perkiraan bahawa kemungkinan tentera Jepun akan membuat serangan bermula di pantai sebelah timur Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya di Kelantan. Selain itu pihak British menjangkakan serangan akan dimulai di Singapura yang menjadi pusat pertahanan British ketika itu. 
 
Sebab itulah pihak British membina kubu kebal di sepanjang pantai mengadap Laut China Selatan dengan memberi perhatian lebih awal di sepanjang pantai Kelantan. 
 
Dua kawasan utama yang diberi perhatian membina banyak kubu kebal ialah di Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan, dua pantai paling di utara negeri Kelantan.   
 
Setiap kubu kebal dibina selang jarak kira-kira satu setengah kilometer dan disusun dalam kedudukan berlapis ke daratan. Selain kubu kebal, terdapat juga rentangan kawat berduri yang dipasang selari dengan pantai secara berlapis-lapis. 
 
Kawasan lain yang turut terdapat kubu kebal itu ialah di Pengkalan Chepa, Padang Luas (Machang) dan Gong Kedak (Pasir Putih). Pertahanan kawasan tersebut penting bagi mengelak mudah terjatuh ke tangan musuh, yang mana terdapat lapangan terbang digunakan oleh pesawat tempur tentera British. 
 
Sebelum perang meletus, Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang kini dikenali Lapangan Terbang Sultan Ismail telah siap sepenuhnya dan digunakan menempatkan pesawat B29 milik tentera British. 
 
Manakala Lapangan Terbang Gong Kedak yang kini digunakan sebagai pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, baharu saja siap dibina beberapa minggu sebelum tentera Jepun menyerang. 
 
Lapangan Terbang Padang Luas pula pada ketika itu baharu dalam proses pembinaan, terhenti begitu sahaja apabila tentera Jepun menyerang, dan kini menjadi kawasan terbiar. 
 
Kubu kebal juga dibina di sepanjang pantai di daerah Bachok dan daerah Tumpat untuk tujuan yang sama.   
 
Sebenarnya pihak British bercadang membina kubu seumpama itu sepanjang pantai sehingga ke Johor Bharu. Bagaimanapun, pembinaannya terhenti apabila perang meletus lebih awal daripada apa yang dijangkakan. Bagaimanapun terdapat beberapa buah kubu kebal sempat disiapkan di beberapa tempat seperti di Kuantan, Pahang dan Kota Tinggi, Johor. 
 
Bentuk kubu kebal dibina seakan-akan bulatan tapak kuda, tetapi bersegi sembilan. Seluruh dindingnya dibuat daripada konkrit simen setebal kira-kira 30 cm. Bahagian atas atau bumbung berkedudukan rata juga diperbuat daripada konkrit simen dengan ketebalan juga kira-kira 30 cm. Ketebalan itu mampu menahan tembakan senjata ringan dan mortar. 
 
Ketinggian kubu kira-kira 2.1 meter, melepasi ketinggian anggota tentera (rata-rata ketinggian anggota melebihi 1.8 meter, tidak termasuk ketinggian kasut dan topi) dan memudahkan penggunaan senjata. Manakala keluasannya kira-kira 8 meter persegi dengan bahagian tengahnya terdapat tiang penyokong berukuran 60 cm kali 60 cm. 
 
Di setiap penjuru kubu kebal dibina lubang yang muat untuk penggunaan senjata persendirian dan senjata bantuan. Lubang itu juga bertujuan untuk memerhati pergerakan musuh. 
 
Setiap kubu kebal yang dibina tidak mengikut ukuran yang sama, tetapi jika dilihat dari luaran kelihatan seperti sama. Perbezaan ini mungkin disebabkan kerana dibuat mengikut anggaran pekerja yang membinanya, asalkan menampakkan ciri-ciri sebuah kubu kebal. 
 
Gambar: Kubu kebal British di Kampung Pantai Kundur.

No comments:

Post a Comment