Tuesday 23 November 2021

KENAF TANAMAN SERBA GUNA

  
Malaysia kini berkembang menjadi negara perindustrian dan berasaskan kepada teknologi, tetapi pada masa sama masih lagi mengekalkan sektor ekonomi asas seperti pertanian dan perladangan. 
 
Negara kita pengeluar utama komoditi sawit dan getah selain koko, sagu dan lada hitam yang menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. 
 
Sekarang satu lagi komoditi baharu diperkenalkan iaitu kenaf yang pada asalnya untuk menggantikan penanaman tembakau, tetapi kini berpotensi berkembang melampaui kawasan asal tanaman tembakau. 
 
Dengan kata lain, kenaf bukan lagi dianggap tanaman gantian tembakau tetapi akan ditanam di kawasan bukan tradisi tembakau yang meliputi seluruh negara. 
 
Antara kawasan yang ditanam kenaf ialah sawah padi yang terbiar disebabkan tidak mendapat bekalan air mencukupi untuk tanaman padi. Perkembangan itu dijangka akan dapat memulihkan banyak kawasan tanah pertanian mahupun tanah kampung yang terbiar. 
 
Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L. merupakan tanaman jangka pendek jenis pokok berserat bukan berkayu yang bersifat kuat berasal dari Afrika (barat Sudan) kini banyak ditanam di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Selangor. 
 
Kenaf tergolong dalam famili Malvaceae dan berada di bawah genus Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga kapas telah ditanam secara meluas di China, Myanmar, India, Bangladesh dan Thailand dalam skala kecil dan komersial. 
 
Ia mengandungi 30 peratus fiber (serat) pada bahagian bast (kulit luar) dan 70 peratus empulur daripada bahagian dalam batang. 
 
Ketinggian pokok mencapai 2 meter hingga 5 meter. Bagi pengeluaran fiber penuaian adalah antara 75 hingga 120 hari selepas penanaman. Penuaian bagi pengeluaran benih adalah 150 hari selepas penanaman. 
 
Pokok kenaf yang ingin dijadikan sebagai bahan makanan ternakan perlu dituai dalam tempoh antara 45 hingga 60 hari kerana dalam usia itu kandungan protin dalam daunnya melebihi 20 peratus. 
 
Manakala pokok kenaf untuk mendapatkan fiber dituai di dalam masa empat hingga lima bulan. 
 
Kenaf mempunyai pelbagai kegunaan dan secara tradisinya, ia sering dijadikan tali atau beg guni. Namun, dengan perkembangan industri serat dan gentian yang semakin meluas, kenaf mula mendapat perhatian untuk dijadikan bahan mentah bagi kegunaan lain. 
 
Fiber kenaf diguna untuk bahaan binaan, perabot, komponen automatif, pulpa, kertas, tekstil, kraf tangan, pencegah hakisan, penebat, penyerap, alas tidur binatang, komponen elektronik dan perubatan. 
 
Menerusi ‘Teknologi Kenaf Polimer Komposit’, ia menghasilkan produk bahan binaan seperti siling dan dinding rumah, bingkai pintu dan tingkap. Dengan kata lain keperluan fiber kenaf amat penting terutama untuk mengganti peranan kayu yang semakin berkurangan sumbernya. 
 
Kenaf hidup subur di iklim tropika, hampir sesuai ditanam di semua jenis kawasan kerana tahan kepada genangan air, kekeringan dan pH tanah yang rendah (masam). 
 
Kenaf juga dapat bertahan dalam musim hujan dan panas. Bagaimanapun, untuk penghasilan benih, musim panas yang lebih panjang diperlukan. 
 
Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang ditubuhkan pada 1973 berperanan memajukan industri tembakau telah ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). 
 
Ia telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan LTN. 
 
LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baharu dan juga sebagai tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia. 
 
Kenaf mula diperkenalkan di Malaysia untuk tanaman percubaan pada tahun 2000. Ia ditanam dengan melalui benih dan tumbuh agak perlahan pada bulan pertama penanaman, selepas itu tumbuh cepat pada bulan berikutnya dan  menurun selepas berbunga. 
 
Perkembangan penanaman kenaf memang menggalakkan.  Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam. 
 
Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman berkenaan. 
 
Tanaman kenaf dijangka mampu menarik minat orang ramai untuk menceburi bidang penanamannya kerana ia mudah ditanam berbanding komoditi lain. 
 
Konsep penaman kenaf berasaskan 3T iaitu tanam, tengok dan tuai menarik minat banyak petani untuk mencubanya. 
 
Selain mudah, kenaf memberi pulangan yang lumayan iaitu mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan, cukup untuk membantu petani keluar dari kelompok kemiskinan. 
 
Petani boleh melakukan tugas sampingan lain untuk mendapat rezeki tambahan.  Bahkan ada yang menganggap menanam kenaf sebagai kerja sampingan kerana tidak banyak masa dan tenaga diperlukan untuk mengurusnya. 
 
Dengan perkembangan sekarang, LKTN yakin kenaf mampu menjadi komoditi utama negara sebagaimana getah serta kelapa sawit. 
 
Tanaman kenaf berkembang dan bukan ditanam untuk tujuan eksport semata-mata, kerana kenaf juga boleh dijadikan bahan untuk mengeluarkan produk hiliran. 
 
Tumpuan LKTN bukan saja melibatkan bekas penanam tembakau berhijrah bertukar kepada tanaman kenaf, tetapi mana-mana individu yang berhasrat menceburi penanaman komoditi yang mempunyai masa depan cerah dalam industri ini. 
 
Kerajaan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK)  bagi meningkatkan pendapatan para petani menerusi tanaman komoditi baharu itu. Pelan induk yang dirangka oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara itu menggariskan hala tuju industri sehingga 2025. 
 
Dengan adanya PIPK, pembangunan industri kenaf dapat dilaksanakan secara tersusun dan terancang agar industri ini menjadi lebih kompetitif, berdaya maju dan mampan serta menyumbang kepada nilai tambah yang lebih tinggi. 
 
 

No comments:

Post a Comment