Saturday 2 June 2018

CARA PUJUK NIRA POKOK KABUNG

Nira atau tuak kabung dihasilkan dari pokok kabung. Pokok kabung sejenis pokok palma. Pokok kabung juga dipanggil pokok enau, pokok aren dan pokok kantau (kantor). Pokok kabung tumbuh di kawasan lembah mahupun hutan di bukit.  

Nira pokok kabung dihasilkan dari tangkai atau tandan bunga jantan.
Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan secara perlahan.

Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya. Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan.

Ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan. Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar.

Setelah tandan dipotong, ia akan menitiskan air nira kabung. Tukil digunakan untuk menadah nira kabung. Kaedahnya sama untuk mengumpul nira kelapa dan nira nipah.

Nira kabung yang dikumpul di dalam tukil perlu dipungut pagi dan petang. Dahulunya tukil dibuat menggunakan buluh, tetapi kini banyak pengusaha nira kabung menggunakan bekas plastik sebagai tukil.

Kualiti nira kabung boleh dikenali berdasarkan warnanya. Air nira kabung berwarna jernih lebih berkualiti dan sedap rasanya, berbanding yang berwarna agak kemerahan.

Nira kabung dihasilkan pokok kabung di kawasan tanah kering dikatakan lebih berkualiti berbanding pokok kabung di kawasan lembah atau tepi sungai.

Nira pokok kabung sama seperti hasil nira pokok palma lain, bezanyanya hanya dari segi rasa. Yang dikatakan sama ialah nira pokok kabung boleh dijadikan minuman segar, diproses menjadi gula kabung dan cuka kabung.

No comments:

Post a Comment