Monday 30 July 2018

KESETIAAN PENYOKONG PAS AMAT LUAR BIASA TAASUB

Umum mengetahui kekuatan PAS terletak kepada penyokong yang taasub. Golongan ini percaya bahawa PAS itu Islam dan Islam itu adalah PAS. Sebab itu, apa yang diucapkan oleh pemimpin mereka dianggap fatwa yang mesti dipercayai dan dipatuhi.   

Dari segi bahasa, fatwa adalah keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti (atau mereka yang berwenang tentang keputusan hukum syarak).

Tetapi, di kalangan penyokong PAS, apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin mereka adalah fatwa (perkataan fatwa yang diguna dalam penulisan ini yang dirujuk kepada apa yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS tidak membawa erti fatwa yang sebenar, melainkan sekadar menjelaskan maksud yang diguna dan dipegang oleh penyokong PAS). 

Justeru, mereka tidak perlu lagi merujuk kepada sumber lain. Malah, jika ada pihak menyanggah fatwa itu, akan dianggap sebagai menolak agama Islam, atau lebih tepat lagi dikatakan kafir. Ulama di luar PAS dianggap tidak layak menjadi golongan pewaris nabi. 

Sebaliknya PAS menggelarkan ulama UMNO dan kerajaan (era pemerinthan BN) sebagai ulama terompah kayu, ulama syaitan, ulama bisu dan segala macam gelaran yang tidak melambangkan kemuliaan. Ulama UMNO hanya layak membincangkan soal haid dan nifas. 

Inilah bahayanya parti politik disamakan dengan agama. Penyokong yang tidak arif tentang hukum agama mudah tertipu dengan apa yang disogokkan kepada mereka oleh pemimpin parti yang menggunakan ilmu agama untuk kepentingan politik.

Pemimpin PAS banyak mengeluarkan fatwa sesuka hati untuk mendapat sokongan. Fatwa yang dikeluarkan tidak diperhalusi mengikut kaedah sebagaimana sepatutnya. Kebanyakan fatwa pemimpin PAS sekadar ‘lepas cakap’ ketika berceramah. Namun, penyokong PAS yang taksub menerimanya sebagai satu fatwa sah yang perlu dipatuhi atau diterima kebenarannya. Mereka bertaklid buta dengan fatwa dikeluarkan pemimpin PAS.   

Fatwa yang dikeluarkan pemimpin PAS ini dijadikan fakta dan pegangan yang sukar untuk diubah biarpun kebenarannya dibawa para ulama dari luar PAS atau di kalangan bekas pemimpin PAS sendiri. Penyokong taksub akan hanya menerima fatwa daripada pemimpin yang masih berada dalam PAS. 

Mana-mana bekas pemimpin PAS yang dipegang fatwanya oleh penyokong PAS ketika dia berada dalam PAS, fatwa barunya, tidak akan diterima. Malah, jika dia ingin memperbetulkan fatwa dikeluarkannya ketika berada dalam PAS, tidak akan diterima oleh penyokong PAS. Peliknya, fatwanya ketika berada dalam PAS masih dipakai. 

Dengan kata lain, orang PAS hanya menerima fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpinnya. Pemimpin PAS dianggap amat alim, bijak, mursyid dan serba tahu. Tetapi, jika individu yang sama keluar daripada PAS, maka dia akan dianggap paling jahil, kafir dan taghut.

Pada tahun 1999, ketika bahang deman Pilihanraya Umum (PRU) ke 10 mula dirasakan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada masa itu,  mengeluarkan kenyataan berikut: “Sesiapa yang nak tolong kerajaan Islam kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong kenapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima.”

Utusan Malaysia keluaran 28 April 1999 melaporkan Nik Aziz berkata: “Allah sendiri menggunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia individu mana tempatnya.”

Ketika pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Lunas, Kedah (2000), Haji Hadi  berceramah dengan ucapan: “Muslim dan muslimat ahli-ahli PAS yang dikasihi, telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis dengan jelas jika kita undi orang kafir, maka kita akan masuk neraka.”

Para pemimpin PAS menalok wanita sebagai calon pilihan raya atas alasan wanita tidak layak menjadi pemimpin. Melantik wanita menjadi pemimpin dianggap melanggar perintah Nabi Muhammad SAW dan membawa ummah kepada kehancuran.    

Contoh fatwa yang dibawa ini adalah daripada ratusan fatwa lain yang diucapkan oleh pemimpin PAS. Rencana ini bukan hendak membincangkan betul atau salah fatwa itu. Sebaliknya, mari kita melihat fatwa yang kini kena pada batang hidung sendiri.  

Secara umumnya, fatwa yang dikeluarkan pemimpin PAS mengkafirkan orang UMNO pada tahun 60an, 70an dan 80an adalah atas alasan UMNO adalah parti assabiah dan mengadakan kerjasama dengan orang bukan Islam. 

UMNO dituduh parti assabiah atas alasan perkataan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang diterjemah kepada bahasa Inggeris United Malays National Organisation yang menjadi ringkasan UMNO. Perkataan Kebangsaan Melayu diterjemahkan oleh PAS sebagai bukti UMNO adalah assabiah.

Hakikatnya, perkataan ‘kebangsaan’ tidak tepat disamakan dengan ‘assobiah’ dalam Bahasa Arab. Sebaliknya, perkataan ‘kebangsaan’ yang digunakan dalam UMNO adalah ‘wataniah’, yakni cintakan negara dan bangsa. 
  
Atas maksud Islam mengharamkan assabiah, maka UMNO juga haram, dan sesiapa menyertai dan menyokongnya juga haram. UMNO juga dituduh haram disebabkan memisahkan agama dengan urusan politik dan pemerintahan, atau dipanggil sekular. 

Alasan yang digunakan menuduh sekular adalah tidak ada perkataan ‘Islam’ pada nama UMNO. Sedangkan PAS mengaku parti Islam kerana ada perkataan ‘Islam’ pada nama parti itu. Inilah dinamakan parti slogan yang banyak diamalkan dalam PAS.

Pakatan UMNO dengan parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (ditubuhkan pada 1974, sebelum itu dikenali Perikatan yang dibentuk sebelum negara mencapai kemerdekaan) seperti MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak dianggap sebagai haram. Disebabkan itu, maka orang UMNO dianggap melakukan dosa besar dan turut sama menjadi kafir.

Orang Melayu yang berpegang kuat kepada fahaman tidak mahu jadi kafir, biarpun sebenarnya tidak kuat berpegang kepada ajaran agama, mudah terpengaruh untuk menolak UMNO. Haramnya UMNO bagi golongan ini samalah seperti haram menyentuh dan memakan daging babi. 

Fahaman inilah banyak membantu PAS berjaya menawan Kelantan pada PRU Pertama tahun 1959, 1964 (kedua), 1969 (ketiga), 1990 (kelapan), 1995 (kesembilan), 1999 (ke 10) dan 2004 kali ke 11.

Pada PRU Keempat yang diadakan tahun 1974, PAS menyertai Barisan Nasional. PAS keluar daripada Barisan Nasional sebelum pilihan raya kelima yang diadakan pada tahun 1978. 

Persoalannya, mengapakah PAS menerima menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974, sedangkan dalam gabungan itu ada parti bukan Islam?  Di manakah fatwa pemimpin PAS yang mengatakan berkerjasama dengan bukan Islam sebagai haram dan kafir?  Sepanjang tempoh 1974 hingga 1978, tidak ada kedengaran fatwa haram berkerjasama dengan bukan Islam kerana PAS sendiri mengadakan kerjasama dengan orang kafir melalui Barisan Nasional. 

Isu orang UMNO kafir timbul kembali apabila PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1978, tetapi dalam nada atau alasan yang sedikit berlainan. Ketika itu, UMNO dianggap kafir kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Mungkin, pemimpin PAS tidak berani secara terang mengatakan UMNO haram kerana berkerjasama dengan bukan Islam disebabkan mereka pernah berada dalam Barisan Nasional.

Bagaimanapun, isu UMNO haram disebabkan berkerjasama dengan bukan Islam ‘mengganas’ kembali beberapa tahun kemudian. Isu ini terhenti sekali lagi apabila persiapan PRU Kelapan yang diadakan pada tahun 1990, apabila PAS yang bergabung dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) turut mengundang mengadakan kerjasama dengan DAP. 

Pada PRU Ke 10 yang diadakan pada tahun 1999, PAS semakin melupai fatwa haram berkerjasama dengan bukan Islam apabila membentuk kerjasama dalam Barisan Altenatif yang mengandungi DAP, PKR, PBS dan Parti Rakyat Sosialis Malaysia. 

Pada PRU Ke 10 juga memperlihatkan sikap PAS yang berubah menerima calon wanita  dari parti gabungan atau, lebih tepat merujuk ke Datin Seri Wan Azizah bertanding di Permatang Pauh. Sedangkan, PAS masih bertegas mengatakan wanita tidak layak menjadi calon pilihan raya untuk ahli Muslimat PAS. Tetapi, pada masa sama PAS melantik senator di kalangan wanita. Bagaimana dua hukum berbeza dikeluarkan untuk perkara yang sama?

Namun, PAS mengambil keputusan meletakkan calon wanita bertanding pada PRU ke 11 yang menyaksikan seorang calon wanita memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Mas, Kelantan. 

Lebih pelik apabila Nik Aziz ‘mengarahkan’ supaya PAS Kawasan yang bersidang mencalonkan wanita untuk menduduki kerusi naib presiden parti tersebut. Jelas sekali, apa yang dilakukan itu lebih ‘hebat’ daripada UMNO yang belum dalam sejarah melantik wanita sebagai naib presiden, kecuali atas dasar kedudukan Ketua Wanita dan Ketua Puteri.

Inilah pemikiran dan dasar yang diamalkan dalam PAS. Semuanya dilakukan untuk kepentingan politik dan individu. Maknanya, fatwa dikeluarkan pemimpin PAS dengan sendirinya tertolak, karut dan sekadar gimik politik. Dalam maksud lain, pemimpin PAS memang tidak layak digelar ulama untuk mengeluarkan fatwa.

No comments:

Post a Comment