Friday 18 October 2019

JIHAD BASMI KEMISKINAN


Berusaha mencari rezeki dan mengelak daripada kemiskinan merupakan jihad. Maksud jihad bukan hanya untuk mereka berjuang di medan peperangan. Sebaliknya, melakukan sesuatu disuruh agama dengan satu kesungguhan juga merupakan satu jihad.

Biarpun manusia tinggal di tempat berbeza dari segi cuaca, tanah tanih dan sumber bekalan di sekeliling, Allah mencukupkan segala keperluan untuk manusia mengikut apa yang diperlukan setempat.

Di padang pasir Allah menghidupkan unta yang tahan cuaca panas, di kutub yang sejuk hidup pula pelbagai jenis hidupan yang sesuai dijadikan sumber makanan dan di hutan rimba terdapat tumbuhan mengeluarkan buah. Semua itu tanda kemurahan rezeki yang Allah sediakan.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” - (Surah al-Mulk, ayat 15).

Sikap malas bekerja dan berserah kepada takdir semata-mata bukan dari amalan umat Islam. Allah mengingatkan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat dari pekerjaan yang dijalankan oleh tangannya sendiri, maka dia akan diberi keampunan.” - (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi).

Rasulullah juga menjelaskan sesiapa melakukan usaha untuk mendapat rezeki akan dilindungi daripada menanggung perasaan aib. Biar apapun jenis pekerjaan yang dilakukan, asalkan halal, tetap dipandang mulia oleh agama.

Hadis diriwayatkan oleh Baihaqi bermaksud: “Sekiranya salah seorang di antara kamu mengambil tali dan keluar mencari kayu api, kemudian dia memikul kayu api itu dibawa pulang dan dijualnya, maka dengan itu Allah memelihara air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi atau tidak.”

Sekiranya umat Islam ingin terus dipandang tinggi dan tidak diperalatkan oleh orang lain, cara paling tepat ialah mengelak diri daripada kemiskinan.

Manakala, pemimpin paling berjaya ialah pemimpin yang mengelak rakyatnya daripada kemiskinan. Agama mudah ditegakkan jika rakyat hidup dalam keadaan selesa dan tenteram.

No comments:

Post a Comment