Monday 30 July 2018

MENGAPA MELAYU PERLU DIBANTU

Ketika pelbagai pihak dari kalangan bukan Melayu lantang mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana kononnya ia berat sebelah, orang Melayu tetap berada paling belakang dalam apa juga bidang.

Sebab itu, jika mahu bercakap soal kesamarataan atau keadilan antara kaum di negara ini, tolong semak fakta dulu. Tengok di mana kedudukan ekonomi dan sosial kaum masing-masing.  

Sedangkan golongan yang benar-benar miskin, ketinggalan dan terpinggir daripada serba serbi ialah kaum Melayu dan bumiputera yang merupakan penduduk asal di negara ini. Tetapi mereka yang benar-benar miskin dan terpinggir ini tidak pula berdemonstrasi atau melakukan protes.

Pemimpin-pemimpin politik ini jika rajin berjalan ke seluruh negara tentunya boleh melihat di mana kedudukan kaum mereka dari segi ekonomi. Pergilah ke bandar-bandar dan pekan-pekan kecil di seluruh negara. Tengok siapa tuan punyai kedai, basikal, kedai runcit, pasar mini, bengkel motosikal dan pelbagai perniagaan lain lagi.  

Milik Melayu ada tetapi tidak sebanyak yang dimiliki kaum lain. Sebab itu, untuk memastikan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera tidak terus membesar perlu ada dasar seperti DEB. Ia supaya ekonomi tidak dikuasai kaum tertentu sahaja.

Jika dengan dasar seperti DEB pun Melayunya masih kekal sebagai termiskin dan termundur, bayangkan jika dasar ini tidak ada. Mungkin 100 peratus yang berpendapatan di bawah RM1,000 itu adalah Melayu.

DEB langsung tidak menjadikan kaum lain lebih miskin. Malah melalui DEB ekonomi mereka bertambah baik. Sebabnya, melalui DEB, ekonomi Melayu bertambah baik. Apabila ekonomi Melayu meningkat kaum lain turut mendapat faedahnya.

Orang Melayu yang bekerja keras membanting tulang menoreh getah dan mengerjakan sawah. Tetapi mereka bukan pemilik kilang padi yang tersergam indah di tepi sawah. Malah sebahagian besar kedai-kedai dan kilang getah di seluruh negara bukan milik orang Melayu.  

Jadi di mana yang tidak adilnya dengan dasar dan agihan ekonomi di negara ini? Di mana letaknya diskriminasi dalam dasar-dasar yang digubal kerajaan seperti DEB?

Berfikirlah dengan minda yang terbuka. Apa juga dasar yang dilihat sebagai memihak kepada bumiputera ia sekadar untuk memastikan golongan ini mampu bersaing dan tidak ketinggalan terlalu jauh.

Dasar-dasar ini tidak sama sekali untuk menjadi Melayu jauh lebih kaya atau lebih berjaya daripada Cina atau India terpinggir begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment