Monday 30 July 2018

SUMBANGAN WANITA DALAM PARTI

Peranan wanita dalam politik tanahair tidak dapat dinafikan. Golongan wanita yang menggelarkan diri Kaum Ibu begitu lantang memperjuangkan kemerdekaan dan bersama-sama diberi kepercayaan menduduki kerusi penting dalam kerajaan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, setiap wanita mempunyai satu undi (mereka yang mendaftar dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menentukan kemenangan calon yang bertanding. 

Menariknya, kaum wanita bukan sahaja diberi hak untuk mengundi, bahkan turut berpeluang diundi (menjadi calon) mewakili parti, mahupun sebagai calon bebas. Memandangkan pentingnya kaum wanita di dalam senario politik tanah air, setiap parti politik mempunyai sayap wanita dalam parti masing-masing. Bahkan sekarang ini telah ada parti mewujudkan sayap puteri (untuk golongan wanita muda).

Bilangan pengundi lelaki berbanding pengundi wanita boleh dikatakan sama banyak. Namun, rata-rata parti politik masih memperuntukkan sejumlah kecil kerusi kepada calon wanita.

Wajar parti politik memberi peluang lebih luas kepada wanita untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang. Kemampuan wanita menjadi pemimpin telah lama terbukti setanding dengan lelaki dan sepatutnya bilangan calon wanita mesti ditambah.

Kepimpinan wanita kini telah diterima oleh kaum lelaki dan turut memilih calon parti yang mengemukakan calon wanita. Gabungan tenaga lelaki dan wanita amat diperlukan dalam menjalankan sesuatu misi parti dan agenda negara. 

Jangan pandang kaum wanita lemah kerana dalam memenangkan parti ada kala kaum wanita bertugas lebih kuat daripada lelaki dengan menjadi perayu undi dan kerja-kerja untuk melancarkan kempen piihan raya.

Bilangan calon wanita dan seterusnya diberi jawatan dalam kabinet penting bagi merealisasikan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang ingin menambah bilangan wanita sehingga 30 peratus yang berada pada peringkat pembuat dasar dan keputusan.

Apapun keputusan pucuk kepimpinan tetap diterima dan wanita akan menjadi penentu kejayaan mana-mana calon sekalipun yang dipilih oleh atasan.

Selama ini wanita berjuang seiring dengan lelaki dan saling melengkapkan. Jadi, memang patut benar jika memberi ruang dan kesempatan kepada wanita bertanding. Soal mendapat calon wanita tidak timbul masalah kerana ramai tokoh wanita berkelayakan di setiap bahagian yang boleh diketengahkan.

No comments:

Post a Comment