Tuesday 24 December 2019

TUMPAT DAERAH UNIK TARIKAN PELANCONG

Jajahan (daerah) Tumpat salah satu jajahan di Kelantan. Daerah Tumpat dipisahkan bersempadan dengan daerah Kota Bharu, daerah Pasir Mas dan negara Thailand.

Tumpat dan Kota Bharu dipisahkan oleh Sungai Kelantan dengan Jambatan Sultan Yahya Petra sebagai penghubung. Dihubungkan dengan Pasir Mas menggunakan Jalan Kutan dan Jalan Kg. Jambu. Tumpat dipisahkan dengan Thailand oleh sempadan Sungai Golok yang hanya boleh menggunakan feri dan bot sebagai penghubung.

Jajahan Tumpat ditadbirkan melalui tujuh daerah (mukim) penggawa dan dibahagikan kepada 30 mukim. Di setiap mukim (kampung) ini pula terdapat beberapa buah kampung yang kesemuanya berjumlah 57 buah dan setiap kampung diketuai oleh seorang penghulu (ketua kampung) yang bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan pentadbiran jajahan.

Memandangkan kedudukan bersebelahan bandar Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan dan pusat perekonomian, kebanyakan penduduk Tumpat banyak berurusan di Kota Bharu, termasuk mencari rezeki.

Penduduk yang tinggal di Pasir Pekan, Wakaf Bharu dan kawasan sekitar akan berurusan di Kota Bharu, berbanding pergi ke bandar Tumpat. Maka, jadilah bandar Tumpat sebagai bandar 'mati'. Jarang sangat orang masuk ke bandar Tumpat.

Dahulu Tumpat cukup terkenal kerana menjadi perhentian terakhir perjalanan kereta api. Penduduk Kota Bharu perlu ke Wakaf Bharu jika ingin menggunakan perkhidmatan kereta api.

Malah, di Tumpat juga pernah wujud sebuah pelabuhan yang menjadi nadi aktiviti import eksport negeri Kelantan.

Jajahan Tumpat adalah satu-satunya jajahan yang paling kecil antara jajahan di Negeri Kelantan dengan keluasannya hanya 169.5 kilometer persegi.

Bagaimana pun Tumpat merupakan jajahan yang paling unik sekali kerana mempunyai dataran dan beratus-ratus buah pulau sungai (river island) yang tidak berbukit yang amat sesuai serta berpotensi untuk dijadikan kawasan pelancongan. 

Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubur salah satu daya tarikan ke Tumpat selain keindahan Pantai Sri Tujuh dan Pantai Sri Genting.

Di Tumpat terdapat beberapa buah wat Buddha yang berstatus besar yang menjadi tarikan pelancongan dari luar negara. Tumpat adalah daerah paling ramai dihuni penduduk menganut agama Buddha.

No comments:

Post a Comment