Thursday 2 January 2020

SK PULAU BELURU DELTA SUNGAI KELANTAN

Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru (SK Pulau Beluru) merupakan satu-satunya sekolah yang dibina di Pulau Beluru yang merupakan salah satu daripada puluhan gugusan pulau di delta muara Sungai Kelantan.

SK Pulau Beluru berada di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat. Pelajar di SK Pulau Beluru sekitar 400 orang yang jumlahnya berubah-ubah setiap tahun. Manakala bilangan guru pula kira-kira 30 orang.

Pelajar selain yang tinggal di Pulau Beluru dan beberapa pulau lain yang dihubungi dengan jambatan seperti Pulau Seratus, Pulau Teluk Renjuna dan Pulau Haji Nik Mat, perlu menaiki perahu atau bot untuk ulang alik ke sekolah. Terdapat jeti khas untuk kegunaan pelajar dan guru terletak di hadapan sekolah berkenaan.

Manakala guru-guru yang tinggal di tanah besar pula berulang alik ke sekolah menggunakan pengangkutan sama dengan meletak kenderaan masing-masing di Jeti Kok Majid yang datang dari Tumpat. Guru dari Kota Bharu pula menggunakan Jeti Kuala Besar.

Selain bersekolah di SK Pulau Beluru, ada penduduk di Pulau Beluru dan pulau-pulau sekitar memilih belajar di sekolah di tanah besar kawasan Tumpat.

Selain untuk pelajar biasa, di SK Pulau Beluru juga terdapat kelas untuk pelajar keperluan khas.

Biarpun berada di pulau, SK Pulau Beluru tidak disisihkan oleh Jabatan Pendidikan Kelantan apabila sering dikunjungi pegawai tertinggi di jabatan. Malah, kemudahan yang disediakan juga setanding dengan sekolah-sekolah lain.

Selain itu, pihak NGO juga sering berkunjung ke sekolah berkenaan untuk mengadakan aktiviti untuk meningkatkan taraf pendidikan pelajar di sekolah berkenaan.
 

No comments:

Post a Comment