Friday 8 January 2021

KEPAKARAN ANGGOTA ATM MEMBANTU MANGSA BANJIR

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu keanggotaan dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dan ketika ini 5,000 anggota tentera telah digerakkan secara berperingkat selain aset seperti jentera berat, bot dan helikopter ke kawasan terjejas akibat banjir.

Peranan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak hanya sebagai barisan hadapan menjaga keselamatan negara menentang musuh. Fungsi dan peranan anggota ATM amat luas, terutama dalam membantu rakyat semasa dalam kecemasan dan bencana.

Anggota ATM mampu melaksanakan pelbagai tugas dalam masa serentak di seluruh negara sama ada di darat, udara dan laut.

Ketika sebahagian anggota tentera menumpukan perhatia kepada ancaman keselamatan dari luar, sebahagian pula melakukan tugas Operasi Benteng (Ops Benteng) mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sepanjang ancaman Covid-19, sebahagian yang lain kini membantu mangsa banjir.

Tanpa menyampingkan tugas hakiki mempertahankan negara dari ancaman musuh, anggota ATM sentiasa bersiap sedia untuk melakukan tugasan membantu mangsa bancana, termasuk banjir.

Setiap kawasan di negara kita dibahagikan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) kepada pasukan yang berada di seluruh negara. Persiapan diadakan sepanjang masa untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa dalam semua keadaan.

Pasukan yang dipertanggungjawabkan berdasarkan KTJ akan digerakkan sebaik sahaja keadaan memerlukan. Sebab itu, anggota ATM menjadi antara pasukan terawal berada di kawasan bencana.

Setiap pasukan melibatkan anggota berkepakaran dalam pelbagai tugas seperti mengendalikan kenderaan darat, kenderaan air, semboyan, perubatan, sajian, elaktrikal, ketukangan dan sebagainya. Mereka mampu melakukan tugas tersebut secara insitu di sesuatu penugasan.

Untuk penugasan kepakaran khusus, ia dilakukan oleh rejimen dan kor mengikut kepakaran masing-masing. Tentera Darat (TD) mempunyai 16 rejimen dan kor untuk melaksanakan penugasan mengikut kepakaran masing-masing.

Mungkin banyak di antara kita jika melihat helikopter milik ATM menyangka ia adalah dari pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Namun hakikatnya, TD juga mempunyai pasukan udara sendiri iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang boleh diaturgerak bila-bila masa untuk membantu pasukan lain melaksanakan penugasan masing-masing.

Selain anggota tetap, ATM mempunyai anggota simpanan atau sukarela yang mampu diaturgerak membantu anggota tetap.

Kepakaran anggota ATM amat terserlah ketika bencana. Mereka bertugas dengan berkesan yang dirasakan sukar dilakukan pihak lain.

Pada banjir tahun 2014 melanda Kelantan, kepakaran Rejiman Askar Jurutera Diraja (RAJD) mendapat perhatian apabila mampu membina jambatan sementara merentasi Sungai Nenggiri, Pulau Setelu, Gua Musang yang runtuh dalam tempoh masa singkat.

Lebar Sungai Nenggiri melebihi 200 meter mampu direntas dengan kepakaran RAJD dibantu rejimen dan kor berkaitan. Pada tahun berkenaan juga terdapat jambatan sementara lain dibina ATM

Bencana banjir 2020/2021 yang teruk melanda beberapa negeri turut menagih khidmat kepakaran ATM.

Antara yang cemerlang ialah kepakaran 50 anggota dari 91 Rejimen Bantuan RAJD melaksanakan kerja-kerja pembinaan jambatan sementara jenis 'Compact Bailey 200' merentang Sungai Dong, Raub, Pahang.

Pembinaan jambatan sementara itu diperlukan setelah jambatan asal runtuh akibat hakisan tebing Sungai Dong kesan laluan air laju yang berlaku.  

Jambatan tersebut menghubungkan jalan antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong dan bandar Raub.  

Penduduk terputus hubungan selama lima hari kerana jambatan tersebut adalah satu-satunya laluan terdekat yang ada. Laluan sedia ada mengambil jarak agak jauh.

Hadir meninjau dan memberi sokongan moral kepada anggota yang melaksanakan tugasan itu ialah Ismail Sabri.

Menurut Ismail Sabri jambatan sepanjang 26 meter dan lebar 7.35 meter itu mengambil masa antara lapan hingga 12 jam yang dibina secara berterusan dari mula sehingga tugas berkenaan selesai.

Tambah Ismail Sabri, biarpun jambatan itu berstatus sementera dan dibina dalam tempoh singkat, penduduk tidak perlu bimbang kerana jambatan ini boleh menanggung berat sehingga 60 tan.

"Jambatan ini akan terus digunakan sehingga jambatan baharu yang kekal siap dibina," katanya.

Jambatan sementara itu memberi manfaatkan kepada 500 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri berkata, perancangan untuk jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang runtuh akan mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Pahang pada Februari ini.

GAMBAR: Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) hadir meninjau pemasangan Jambatan Compact Bailey 200.

No comments:

Post a Comment