Thursday, 14 March 2024

MAKAN COLEK TRADISI RAMADAN DI KELANTAN

 
Makan colek, antara aktiviti paling popular bagi masyarakat di Kelantan pada bulan Ramadan. Colek biasanya dimakan selepas umat Islam selesai menunaikan solat tarawih mereka. Makan colek sering dijadikan program untuk bersama ahli keluarga, sesama rakan, persatuan, NGO dan wadah untuk pemimpin politik mendekati pengundi.
 
Colek ialah sambal cair dibuat daripada campuran cuka, lada, garam, nise dan gula untuk dicicah dengan pelbagai jenis makanan.  
 
Kebiasaannya hidangan colek mengandungi campuran ayam goreng, organ-organ dalaman lembu seperti paru-paru, hati, limpa, makanan laut seperti kerang, sotong, udang, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta keropok.
 
Colek merupakan hidangan makanan ringan kegemaran masyarakat di Kelantan setiap kali tibanya bulan puasa. Terdapat banyak restoran di Kelantan terutama sekitar Kota Bharu menyediakan hidangan colek ini pada sepanjang bulan Ramadan.
 
Disebabkan sambutan hangat, banyak restoran yang pada hari biasa menjual pelbagai jenis makanan harian, akan menukar menu hanya menjual colek pada bulan Ramadan.
 
Bahkan, ada restoran yang tidak mendapat sambutan pada bulan biasa menjadi begitu terkenal pada bulan Ramadan semata-mata kerana colek hingga tidak cukup ruang untuk memenuhi permintaan pelanggan.
 
Begitu hebat sekali sambutan colek di Kelantan yang menjadi satu budaya makan yang paling unik dan dirindui perantau yang tinggal di luar Kelantan. Mereka akan cuba kembali ke Kelantan lebih awal bagi memastikan tidak terlepas peluang menyertai 'pesta colek'.
 
Aktiviti makan colek bukan semata-mata bertujuan untuk makan colek, tetapi ia juga satu ruang masa untuk keluarga, sahabat, ahli parti, ahli persatuan, rakan sekerja dan sebagainya dapat bersama pada bulan Ramadan.
 
Ia menjadi medan untuk mengeratkan hubungan dan rehat melepaskan tekanan seharian bekerja.
 
Seperti sedia maklum, pada waktu siang pada bulan lain, aktiviti “mengeteh” atau “mengopi” boleh dilakukan, tetapi tidak pada bulan Ramadan. Jadi, sebagai gantinya ia dibuat program makan colek.
 
Biarpun ada aktiviti berbuka puasa bersama, banyak orang lebih suka untuk bersama makan colek kerana masanya lebih panjang dan santai, berbanding majlis berbuka puasa yang singkat disebabkan masing-masing bergegas untuk bersembahyang Maghrib.
 
Aktiviti makan colek juga lebih ringkas dan tidak terikat dengan masa. Makan colek juga boleh dianggap menggantikan moreh dan makan lewat malam.


No comments:

Post a Comment