Sunday 23 June 2024

DURIAN D200 DURI HITAM

 
Durian D200 atau lebih dikenali duri hitam (black thorn) cukup terkenal di Malaysia. Nama lain panggilan D200 ialah durian Ochee atau Hei Tze. Baka durian duri hitam berasal dari Pulau Pinang dan telah didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 15 Jun 2015 oleh Leow Cheok Kiang
 
Durian duri hitam mempunyai rasa berlemak manis, berkrim dengan sedikit pahit (kurang pahit jika dibandingkan dengan Durian XO). Isinya agak tebal walaupun tidak setebal durian musang king serta lebih ringan dari segi tekstur.
 
Durian duri hitam mencatatkan harga paling mahal berbanding jenis-jenis durian lain. Harganya boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram mengikut musim dan tempat. Harga raja buah itu juga bergantung kepada pengeluaran di satu-satu kawasan yang menyaksikan harga akan turun sekiranya berada di puncak pengeluaran.
 
Antara faktor durian itu harganya tinggi adalah kerana tidak banyak pengeluaran di mana kebun besar yang menghasilkan durian duri hitam, pada masa ini hanyalah di Kulim Bandar Baharu, jadi ramai yang ingin mencubanya.
 
Bentuk buah durian duri hitam yang “sempurna” membuatkan buah ber­kenaan nampak cantik dan menjadi pilihan orang ramai.
 
Banyak orang menyukai rasa durian duri hitam kerana teksturnya yang lembut dan tidak mengenyangkan seperti Musang King. Aromanya yang unik, wangi dan tidak tajam menjadikannya sesuai bagi santapan mereka yang pertama kali ingin mencuba rasa durian. 
 
Ia mempunyai tangkai yang agak pendek dan kontot dengan warna kulit durian pada lazimnya adalah berwarna hijau kelabu. Dari segi bentuk dan warna duri ada ramai yang beranggapan bahawa durian ini mempunyai duri berwarna hitam tetapi sebenarnya kurang tepat. Durian Duri Hitam mempunyai warna duri yang sama seperti durian yang lain iaitu hijau. Pada hujung duri tersebut dilihat akan terdapat warna perang gelap di mana terdapat teori yang mengatakan bahawa ciri tersebutlah yang menjadi ilham bagi nama durian ini.
 
Pada bahagian bawah durian selelunya dilihat berwarna perang gelap dan tanpa sebarang duri di kawasan tersebut. Terdapat satu tangkai berwarna hitam bahagian tengah di mana ia dikatakan sebab durian ini diberi jolokan Durian Duri Hitam. Garisan berwarna perang gelap juga kelihatan bersambung dengan bahagian bawah di mana ia boleh digunakan sebagai penanda bagi mengopek durian jenis ini.
 
Pokok induk durian duri hitam berasal dari Kampung Lima Kongsi yang berhampiran Sungai Bakap yang terletak di selatan jambatan kedua Pulau Pinang. Pokok tersebut telah dirahsiakan bertahun-tahun lamanya walaupun mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan pengusaha durian tempatan kerana pemilik asal iaitu 'Bagi Kau' enggan untuk menjual benih pokok tersebut. Dia telah menjumpai benih asal pokok tersebut ketika berada di negara Thailand namun sehingga kini dia tidak mengetahui secara mendalam asal-usul pokok tersebut. 
 
Pada pertengahan tahun 1980-an pemilik pokok asal telah memberi keizinan kepada rakannya iaitu Leow Cheok Keong untuk menanam benih tersebut di ladangnya di Nibong Tebal yang menjadi kebun durian duri hitam komersial yang pertama. Setelah beberapa tahun membuat pemilihan dan penjagaan akhirnya ia menjadi buah yang sangat berkualiti dan didaftarkan dengan Jabatan Pertanian sebagai buah durian premium (D200).
 
Durian duri hitam pernah memenangi Anugerah Durian Terbaik Pulau Pinang bagi tahun 2011 dan 2012.


No comments:

Post a Comment