Kulat pusu tidak hidup lama, jangka
hayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan
muncul dari tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari
atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka. Semasa hari kedua juga
teksturnya sedikit kenyal dan keras.
Pada hari ketiga topinya menjadi besar
dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh dan dalam
keadaan ‘malo’ atau matang. Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip
kulat pusu adalah pada hari kedua.
Malam hujan lebat dan sebelah
siangnya yang panas terik selama 3 hari berturut-turut menandakan musim kulat
pusu tiba. Pengecaman juga boleh dilakukan dengan munculnya banyak kelekatu
pada waktu malamnya.
Mengutip kulat pusu ada caranya.
Sekiranya tanah tempat tumbuhnya kulat-kulat ini lembut, kerja mengutipnya menjadi
senang, dengan cara menarik perlahan-lahan hingga ke akarnya dan ia tidak
patah.
Sekiranya tanah itu keras,
batang-batang kulat akan mudah patah semasa mencabutnya. Oleh itu bagi
memudahkan penuaian, tanah yang keras itu hendaklah disiram air terlebih dahulu
bagi melembutkannya.
Berhati-hati semasa mengutip kulat
pusu kerana struktur morfologi dan warnanya hampir sama iaitu putih dengan
spesies yang beracun seperti Macrolepiota spesis, Lepiota spesis dan Amanita
spesies.
Cara untuk mengelakkan salah faham
ialah dengan mempastikan bahawa di bawah cendawan tersebut terdapat pusu
anai-anai dan akar kulat pusu itu panjang dan sampai ke dalam sarang anai-anai
tersebut.
Selepas kulat pusu dicabut, ia
dibersihkan dari tanah-tanah yang melekat tetapi tidak boleh dibasuh dengan
menggunakan air kerana ini akan menyebabkan ia mudah rosak dan busuk.
Kulat yang sudah dicabut batangnya
tidak akan membesar tetapi topinya akan mengembang. Untuk memberi ketahanan
kulat-kulat itu hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan boleh tahan sehingga 7
hari.

No comments:
Post a Comment