Pengguna kosmetik sentiasa 'terperangkap' menggunakan
produk mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin.
Jika mereka tidak mengetahui tentang kehadiran racun
itu dan terus menggunakan produk itu, tentu sekali itu dikira 'nasib' dan tidak
boleh dikata apa-apa lagi.
Masalahnya, ada pengguna yang sedia maklum
mengenainya, tetapi masih terus menggunakan produk itu atas alasan ingin
kelihatan cantik dan beranggapan orang lain pun guna juga produk itu.
Ada pengguna kosmetik sanggup berada di hadapan kipas
semata-mata untuk menahan rasa panas dan menyedari keadaan itu adalah kesan
racun yang terdapat dalam kosmetik yang digunakan.
Pengguna yang obses untuk cantik tidak kisah tentang
bahaya bakal dialami. Apa yang penting dapat kelihatan cantik dengan cepat.
Selain tindakan pengguna, para penjual dan pengedar perlu
memainkan peranan untuk mengelak pengguna terus menjadi mangsa produk kosmetik
mengandungi racun.
Tanpa penjual dan pengedar, produk tersebut tidak akan
sampai ke tangan pengguna. Maka sebab itu, dari segi undang-undang, penjual dan
pengedar yang ingkar bakal dikenakan tindakan tegas.
Penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran
produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah
dan Kosmetik 1984.
Mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh
didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau
penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh
dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga
RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin
adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan
Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Kedua-dua bahan racun itu, yang sering digunakan untuk
tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan, boleh
menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih,
menggelupas, dan hipersensitif.
Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang
mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV serta meningkatkan
risiko kanser kulit.
Merkuri adalah bahan toksik yang perlu dielakkan sama
sekali dalam apa juga produk kerana ia boleh menyerap masuk ke dalam badan dan
menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada
merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau
orang yang menggunakan produk kosmetik itu dan kemudian memasukkan jari-jari
mereka ke dalam mulut.
Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga
menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
No comments:
Post a Comment