Friday 22 January 2021

PERTAHAN KESUCIAN MASJID

Sebelum ini sering terjadi masjid dijadikan medan untuk menyebarkan fahaman politik kepartian dan kebencian. Malah ada kes bersembahyang Jumaat di masjid yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa agama. Lebih teruk lagi ada berlaku sembahyang jemaah dua imam. Perkara ini diharapkan tidak akan berulang lagi.

Fungsi masjid tempat ibadat dan menyatukan umat Islam tanpa mengira kedudukan, bangsa dan asal usul. Semua orang Islam berhak memasuki dan memakmur masjid sepertimana dituntut Islam. Justeru, di masjid dilarang dijadikan gelanggang sebar rasa benci terhadap sesiapa saja. 

Kesucian masjid perlu dipertahankan dan tidak seharusnya dicemarkan semata-mata kerana ingin mencari pengaruh atau mengaut keuntungan politik.

Tindakan itu yang boleh menimbulkan kebencian dan perpecahan di kalangan umat Islam. Kejadian itu jauh bertentangan dengan fungsi masjid sebagai tempat menyatukan umat Islam. 

Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW melarang masjid dijadikan platform untuk menabur fitnah, kebencian serta merosakkan perpaduan umat Islam.  

Sebenarnya, perbuatan menimbulkan perpecahan bukan saja ditegah dilakukan di masjid, bahkan di mana-mana saja. Islam mementingkan persaudaraan dan perpaduan, lalu menegah sebarang perkara yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan. 

Sepatutnya, umat Islam mengambil kesempatan menjadikan masjid sebagai medan menyatukan ummah.  

Individu hadir ke masjid bertujuan satu iaitu mengesakan Allah dan meningkatkan takwa yang bersedia melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.

Masjid adalah tempat untuk melakukan ibadah dalam keadaan tenang dan tenteram. Sesiapa hadir ke masjid perlu membersih diri daripada agenda lain, kecuali untuk beribadat. 

Peranan sebenar masjid adalah berdakwah secara bijaksana dan berhikmah serta mengajak ummah ke jalan yang benar. Di masjid seruan perpaduan perlu diutama. Semua yang hadir ke masjid adalah tetamu Allah. Apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah.  

Tindakan pihak yang menjadikan masjid sebagai medan politik kepartian menyebabkan mereka berlainan ideologi politik tidak akan hadir. Ini secara langsung menyebabkan perpecahan. Sedangkan Islam mementingkan perpaduan dan antara tempat menyatukan umat Islam adalah di masjid.

Hendaklah kita menjaga kesucian masjid dangan mengelak melakukan perkara yang ditegah di masjid. Sebaliknya jadikan masjid sebagai tempat penyatuan dan perpaduan umah, selain tempat beribadat.

 

No comments:

Post a Comment