Berusaha mencari rezeki dan mengelak daripada
kemiskinan merupakan jihad. Maksud jihad bukan hanya untuk mereka berjuang di
medan peperangan. Sebaliknya, melakukan sesuatu disuruh agama dengan satu
kesungguhan juga merupakan satu jihad.
Biarpun manusia tinggal di tempat berbeza
dari segi cuaca, tanah tanih dan sumber bekalan di sekeliling, Allah
mencukupkan segala keperluan untuk manusia mengikut apa yang diperlukan
setempat.
Di padang pasir Allah menghidupkan unta yang
tahan cuaca panas, di kutub yang sejuk hidup pula pelbagai jenis hidupan yang
sesuai dijadikan sumber makanan dan di hutan rimba terdapat tumbuhan
mengeluarkan buah. Semua itu tanda kemurahan rezeki yang Allah sediakan.
Firman Allah bermaksud: “Dialah yang
menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan
makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” - (Surah al-Mulk, ayat 15).
Sikap malas bekerja dan berserah kepada
takdir semata-mata bukan dari amalan umat Islam. Allah mengingatkan bahawa Dia
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri berusaha
mengubahnya.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang
menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat dari pekerjaan yang
dijalankan oleh tangannya sendiri, maka dia akan diberi keampunan.” - (Hadis
riwayat Tabrani dan Baihaqi).
Rasulullah juga menjelaskan sesiapa melakukan
usaha untuk mendapat rezeki akan dilindungi daripada menanggung perasaan aib.
Biar apapun jenis pekerjaan yang dilakukan, asalkan halal, tetap dipandang
mulia oleh agama.
Hadis diriwayatkan oleh Baihaqi bermaksud:
“Sekiranya salah seorang di antara kamu mengambil tali dan keluar mencari kayu
api, kemudian dia memikul kayu api itu dibawa pulang dan dijualnya, maka dengan
itu Allah memelihara air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta
daripada orang lain sama ada diberi atau tidak.”
Sekiranya umat Islam ingin terus dipandang
tinggi dan tidak diperalatkan oleh orang lain, cara paling tepat ialah mengelak
diri daripada kemiskinan.
Manakala, pemimpin paling berjaya ialah
pemimpin yang mengelak rakyatnya daripada kemiskinan. Agama mudah ditegakkan
jika rakyat hidup dalam keadaan selesa dan tenteram.
No comments:
Post a Comment