UMNO bukan parti mengkarung, yang boleh
sesuka hati menukar warna kulit, demi kepentingan politik sendiri. Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengegaskan hal demikian dalam ucapan dasar sempena
Perhimpunan Agung UMNO 2023.
Hal ini adalah berikutan tuduhan sesetengah
pihak bahawa kerjasama politik UMNO dalam Kerajaan Perpaduan akan menghakis
kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Sebaliknya, UMNO tetap teguh memegang nilai
Islam, Melayu dan Bumiputera di Malaysia, tanpa sekali-kali mengenepikan
kepentingan dan hak agama dan kaum yang lain. Malah, UMNO sejak sekian lama
sudah menjadi penimbang tara dalam persimpangan politik yang berlaku di negara
ini.
Susulan insiden 13 Mei 1969, UMNO menjadi
watak penting dalam usaha untuk memberikan terjemahan yang lebih jelas tentang
soal perkongsian kuasa dan pengagihan ekonomi negara. Daripada usaha itulah,
Dasar Ekonomi Baru (DEB) digarap oleh Tun Abd Razak Hussein untuk menghapuskan
segregasi masyarakat mengikut sektor ekonomi yang sebelum ini diamalkan di
Tanah Melayu.
Kemudian, UMNO turut menjadi watak utama
sebagai teras kerjasama dalam Barisan Nasional (BN) yang mana keanggotaannya
merangkumi parti pelbagai bangsa malah agama, yang pernah mewujudkan keresahan
dalam kalangan masyarakat Melayu.
Namun sekali lagi, UMNO sebagai peneraju
gabungan tersebut, membuktikan bahawa keharmonian boleh wujud dengan meletakkan
kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera di atas, tanpa mengabaikan kepentingan
pihak-pihak lain.
Kepentingan UMNO sebagai penengah dalam
kancah politik Malaysia terus berlaku sehingga ke hari ini. Dalam usaha UMNO
melakukan penyesuaian politik dengan kerjasama-kerjasama politik terkini, UMNO
tidak pernah menggadaikan prinsip utama untuk memperjuangkan hak Islam, Melayu dan
Bumiputera di negara ini.
Buktinya, syarat utama yang diberikan oleh
BN sebelum menyertai Kerajaan Perpaduan adalah pembentukan dasar, program dan
pendirian kerajaan, hendaklah menjunjung hak keistimewaan Islam, Melayu dan
Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Situasi ini nyata berbeza dengan tuduhan
bahawa UMNO adalah mengkarung politik. Sebaliknya, mengkarung politik yang
sebenar adalah pihak lain yang kerap memainkan dalil-dalil agama untuk
menyokong tindakan-tindakan mereka.
Anehnya, apabila tindakan mereka berbeza
dengan dalil awal yang digunakan, akan hadir pula dalil baharu yang
menghalalkan perbuatan baharu mereka.
Sebagai contoh, dahulunya pihak tersebut
menggunakan isu peruntukan dalam RUU 355 sebagai peluru politik, kononnya
mereka mahu lebih mengangkat hak Islam di negara ini, sehingga sanggup
mengkafirkan UMNO. Namun setelah mereka memegang tampuk pemerintahan negara
sebelum ini, tidak pernah sekalipun RUU 355 ini menjadi agenda dalam pemerintahan
mereka.
Begitu juga, dalam isu penggunaan kalimah
Allah oleh agama lain. Sebelum ini, mereka menyatakan bahawa tidak ada mudarat
pun untuk agama lain menggunakan kalimah suci tersebut. Namun kini, merekalah
yang beria-ia mengatakan tidak boleh digunakan.
Padahal, pegangan UMNO serta kerajaan hari
ini konsisten dengan pandangan Raja-Raja Melayu seperti peruntukan dalam
Perlembagaan di mana kalimah-kalimah suci tersebut tidak boleh digunakan oleh
masyarakat bukan Islam di Semenanjung Malaysia.
Tohmahan mereka bahawa UMNO mengesampingkan
agama juga lari jauh dari realiti. Hakikatnya, UMNO dalam Kerajaan Perpaduan
ini berjaya mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan untuk dana sejumlah RM1.5
billion kepada JAKIM, yang disalurkan kepada pelbagai institusi Islam, termasuk
peruntukan RM150 juta untuk melaksanakan Dasar Tahfiz Negara. Usah dilupa juga
program Maahad Tahfiz TVET dan Ulul Albab di MRSM. Semua ini adalah manifestasi
komitmen UMNO dalam menjaga keistimewaan Islam di Malaysia.
Dalam isu pembelaan orang Melayu dan
Bumiputera pula, sumbangan UMNO cukup besar. Cetusan idea untuk menubuhkan
Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, MARA, FELDA, Petronas, UKM dan UiTM,
adalah merupakan gagasan besar UMNO dalam melakukan rekayasa kejuruteraan
sosial. Kesemua ini menjadi bukti bahawa UMNO tidak pernah mengesampingkan
agenda pembangunan Melayu, malah sentiasa meletakkan kepentingan Melayu dalam
pembangunan ekonomi nasional.
Walau apa pun tuduhan dan tohmahan yang
dilemparkan kepada parti keramat ini, di akhirnya tiada siapa mampu menidakkan
jasa serta sumbangan UMNO terhadap pembelaan Islam, Melayu dan Bumiputera di
Malaysia. Malah, dalam evolusi UMNO untuk menyesuaikan diri dengan kancah
politik semasa, UMNO tidak sesekali menjadi parti mengkarung yang berpura-pura
dan hanya menunggang dalil untuk kepentingan politik mereka sahaja.
No comments:
Post a Comment