Thursday, 19 December 2024

SUNGAI KELAIK, GUA MUSANG TERCEMAR

 
Pada 18 Disember 2024 media melaporkan, dua syarikat diarah menghentikan kerja perlombongan bijih besi di Gua Musang, Kelantan selepas operasi mereka dikhuatiri menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik. Aktiviti pelombongan itu dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu di kawasan Gunung Tambun. 

Arahan itu dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan siasatan berhubung pematuhan Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd (Aqua Orion) dan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd) terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, siasatan mendapati Aqua Orion menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan di bawah Subseksyen 34A(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan kertas siasatan akan dibuka dengan segera di bawah Subseksyen 34A(6) akta sama.

Aktiviti perlombongan oleh syarikat yang tidak mematuhi undang-undang perlu dihentikan segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku. Kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kesihatan komuniti perlu diutamakan. Kajian menyeluruh dan pematuhan kepada peraturan perlu dilakukan jika aktiviti perlombongan itu ingin diteruskan pada masa hadapan.

Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan aduan penduduk setempat mendapati aktiviti perlombongan tidak sah telah menyebabkan pencemaran sungai, yang menjadi sumber air utama penduduk.

Ujian awal menunjukkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada logam berat seperti kromium yang boleh menyebabkan penyakit serius, termasuk kanser kepada pengguna air Sungai Kelaik, sedangkan air sungai tersebut menjadi sumber kegunaan penduduk yang tinggal berhampiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berharap audit menyeluruh akktiviti perlombongan di kawasan berkenaan dapat dilakukan segara untuk mendapatkan laporan penuh siasatan JAS dan memastikan laporan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) disiapkan dan dinilai segera.

Menurutnya, semua operasi syarikat terlibat perlu ditangguhkan sehingga bukti pematuhan undang-undang diberikan. Tindakan tegas dan hukuman berat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dilaksanakan jika terbukti melakukan kesalahan. Pesalah mesti berdepan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM1 juta.

Beliau turut mendesak agar semua pihak yang terlibat, termasuk agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, untuk menjalankan tanggungjawab dengan telus dan tegas. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa rakyat dan masa depan generasi akan datang.

Syarikat yang terlibat perlu menghentikan sebarang aktiviti serta-merta dan memulihkan kerosakan yang telah berlaku dan bertanggungjawab penuh terhadap kesan pencemaran yang ditinggalkan.

Syahbuddin juga berharap bekalan air bersih sementara dapat disediakan kepada penduduk Kampung Kelaik sehingga sungai dipulihkan sepenuhnya dan air selamat digunakan seperti sebelumnya.


Gunung Tambun

No comments:

Post a Comment