Thursday, 22 December 2022

TOKSIK POLITIK MEMBARAH ROSAKKAN NILAI KEMANUSIAAN

  
Fabrik rapuh perpaduan sosial kita sentiasa diuji dan diancam oleh insiden, ekstremisme, politik, salah faham, kekurangan komunikasi atau kegagalan untuk memahami dan menghargai pandangan dan kepercayaan satu sama lain.

Keadaan itu semakin parah apabila ia disimbah pula dengan toksik politik yang semakin membarah dalam masyarakat. Disebabkan toksik politik diwarnai dengan kebodohan, kebencian dan kesombongan, menjadikan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara kita semakin diuji dengan pelbagai badai melanda.
 
Orang Melayu yang pastinya beragama Islam semakin hilang identiti dan jati diri. Apa yang dilakukan semakin jauh menyimpang dari ajaran agama dan tatasusila bangsa. Bangsa Melayu yang berbudi bahasa bertukar menjadi kasar apabila terkena toksik politik melampau.
 
Islam menegah perbuatan melampau yang boleh mencetuskan permusuhan. Sebaliknya, Islam menganjurkan agar sentiasa mencari jalan menolak kejahatan dengan digantikan dengan kebaikan.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” – (Surah Fussilat, ayat 34)
 
Menolak kejahatan dengan kebaikan akan menukarkan musuh menjadi sahabat karib. Janganlah disebabkan kita pernah bermusuh dengan seseorang, maka kita tidak sudi menerima bantuan darinya ketika kita dalam kesusahan atau tidak sudi membantunya ketika dia dalam kesusahan.
 
Amat menyedihkan apabila soal kemanusiaan hendak dipolitikkan juga. Inilah tanda kebodohan melampau yang wujud hasil didikan politik kebencian.
 
Ingatlah, kalaupun berlainan fahaman politik, kita tetap ada hubungan bangsa, agama, negara dan setidak-tidaknya kemanusiaan.
 
Fikirkan perkara baik-baik kerana kebaikan itu akan kembali kepada kita. Sebaliknya, jika selalu fikirkan perkara buruk dan berniat jahat, maka keburukan itu akan kembali kepada kita suatu hari nanti.
 
Untuk bahagia dan tenang dalam kehidupan pastikan hati sentiasa bersih. Jangan ada rasa benci, dendam dan bersangka buruk.
 
Syaitan gemar berkawan dengan orang yang di dalam hatinya dipenuhi dengan perasaan dendan dan benci. Disebabkan dendam dan benci, banyak keburuk akan berlaku dalam hubungan manusia, dan itu tentu sekali mengembirakan syaitan. 
 
Gambar - Sekadar hiasan
 

No comments:

Post a Comment